
PENYELESAIAN yang lebih bersifat setempat (localised) boleh dicapai bagi isu asap rokok yang menjejas taman permainan serta kawasan berhampirannya.
Meskipun bilangan maklum balas dan aduan berkaitan asap rokok di tempat-tempat sedemikian sangat rendah, atau kurang daripada 1 peratus, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, berkata beliau sedar terdapat tempat-tempat tertentu di mana masalah asap rokok menjejas kawasan permainan atau tempat duduk di sekitarnya.
Merokok dilarang di semua taman permainan awam sejak 2009.
Larangan ini termasuk bagi di kemudahan berhampiran taman permainan seperti tempat duduk dan laluan pejalan kaki yang digunakan pengguna taman permainan tersebut.
Di parlimen semalam, Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah) telah menimbulkan kerisauan bahawa terdapat beberapa tempat tertentu dengan taman permainan dikelilingi kemudahan awam lain di mana merokok tidak dilarang di situ.
Encik Chia bertanya Dr Khor bagaimana kementeriannya memastikan pegawai penguatkuasaan dan orang awam sedar akan sempadan tempat mereka tidak dibenarkan merokok agar tidak berlaku pertikaian.
"Bagi situasi sedemikian, penyelesaian lebih bersifat setempat boleh dicapai bersama oleh masyarakat dan agensi yang terlibat, misalnya dengan meletakkan lebih banyak penanda agar orang lebih sedar kawasan dilarang merokok," kata Dr Khor.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, semasa menjawab soalan Encik Louis Ng (GRC Nee Soon), berkata, kementeriannya sedang mengkaji pelbagai cadangan termasuk meningkatkan kesedaran dan aksesibiliti pengantaraan masyarakat untuk menyelesaikan masalah asap rokok antara jiran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg