Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Isu dera, gangguan terhadap pekerja jagaan kesihatan perlu ditangani: Ye Kung

Apr 26, 2023 | 5:30 AM
TERAP NILAI BAIK: Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berjabat tangan dengan peserta yang mengendali gerai disediakan pertubuhan dan inisiatif 'ground up' semasa Sidang Baik Budi Singapura 2023 di Capitol Theatre pada Selasa. - Foto PERGERAKAN BAIK BUDI SINGAPURA
TERAP NILAI BAIK: Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berjabat tangan dengan peserta yang mengendali gerai disediakan pertubuhan dan inisiatif 'ground up' semasa Sidang Baik Budi Singapura 2023 di Capitol Theatre pada Selasa. - Foto PERGERAKAN BAIK BUDI SINGAPURA -

SINGAPURA perlu menangani isu penderaan dan gangguan terhadap pekerja penjagaan kesihatan kerana meskipun ia dilakukan oleh bilangan kecil orang awam di sini, ia berupaya menyebabkan tekanan, beban emosi dan menjejas mereka.

Berucap pada Selasa, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata perbuatan sedemikian turut menjejas prestasi pekerja tersebut daripada melakukan tugas mereka dengan baik dan dianggap perbuatan tidak adil bagi majoriti penduduk yang menghormati mereka.

Encik Ong menyatakan demikian di penutup tirai Sidang Baik Budi Singapura yang diadakan di Capitol Theatre.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang dalam proses bagi menerapkan sebuah dasar toleransi sifar baru terhadap penderaan dan gangguan pekerja penjagaan kesihatan.

Pada Mac, sebuah kumpulan kerja tiga pihak Kementerian Kesihatan (MOH) - yang dibentuk pada 2022 untuk memantau keadaan - telah mengeluarkan saranan agar Singapura menerapkan dasar toleransi sifar terhadap penderaan dan gangguan yang dilakukan kepada pekerja penjagaan kesihatan dalam apa jua bentuk.

Dasar itu yang dijangka dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini kini di peringkat "penterjemahan untuk dijadikan pelan penerapan lengkap," kata Encik Ong.

Beliau berkata bilangan kes pekerja penjagaan kesihatan yang mengalami atau menyaksikan sendiri penderaan telah meningkat.

Dapatan kumpulan kerja perikatan tiga pihak itu pada Mac mendapati hampir satu daripada setiap tiga petugas penjagaan kesihatan menyaksikan penderaan, atau mengalaminya sendiri, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.

Pada 2023, dalam satu kenyataan bertulis di Parlimen, Encik Ong mendedahkan kes penderaan semakin naik sejak 2018 - daripada 1,080 kes pada 2018; 1,200 kes pada 2019; 1,300 kes pada 2020; dan 1,400 kes sehingga November 2021.

"Sejak dasar baru itu diumumkan bulan lalu (Mac), kami telah menerima maklum balas yang menggalakkan secara umumnya," kata Encik Ong.

"Ia mengesahkan lagi kepercayaan kami bahawa sebahagian besar majoriti yang menerima khidmat dari kami menghargai dan menghormati pekerja jagaan kesihatan. Namun, ada beberapa pengecualian," katanya.

Merujuk satu kejadian yang dialami Encik Ong sebagai contoh, di mana seorang penduduk yang meskipun setuju dengan dasar itu memberi maklum balas terhadapnya secara kasar dengan menghulur kata-kata kesat kepadanya, beliau berkata:

"Saya benar-benar tidak faham perbuatan seperti itu. Seorang yang dengan jelas bertindak dengan kasar, namun fikirkan dirinya betul.

"Paling sering kami dapati ialah orang awam yang mengalami pertikaian dengan pekerja kesihatan, dan merasakan bahawa dasar baru itu sepatutnya tidak menyasarkan mereka," ujar Encik Ong.

Beliau menambah bahawa hospital merupakan tempat kerja yang boleh menyebabkan tekanan tinggi dan oleh itu berupaya menjejas kesabaran orang ramai.

Beliau berkata tiada jaminan dasar baru itu akan dapat mencegah kejadian seperti itu daripada berlaku namun orang ramai digesa supaya kekal bertimbang rasa meskipun dalam keadaan tertekan.

"Ramai antara kita memberikan khidmat kepada orang lain dalam kehidupan dan kerjaya... Kami semua senasib dan pernah mengalami penderaan pada sesuatu masa dalam hidup kami.

"Jadi, itu bermakna kami boleh mengamalkan sikap bertimbang rasa dan sama-sama mencegah mereka yang masih melakukan tindakan mendera," ujar Encik Ong lagi.

Sidang Baik Budi Singapura 2023 diadakan setelah 11 tahun dihentikan.

Dikendali Pergerakan Baik Budi Singapura dan Inisiatif Kebahagiaan, seramai 500 orang dari 340 pertubuhan hadir pada acara itu.

Antara lain, panel perbincangan telah diadakan serta pameran gerai dari inisiatif 'ground up' dengan tema "Orang Berbudi, Tempat kerja Meriah," agar sikap budi pekerti yang baik dapat diterapkan sebagai nilai teras di tempat kerja.

"Ramai antara kita memberikan khidmat kepada orang lain dalam kehidupan dan kerjaya... Kami semua senasib dan pernah mengalami penderaan pada sesuatu masa dalam hidup kami.

Jadi, itu bermakna kami boleh mengamalkan sikap bertimbang rasa dan sama-sama mencegah mereka yang masih melakukan tindakan mendera."

- Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg