Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Isu penuaan, kesihatan antara fokus utama tahun 2024

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Isu penuaan, kesihatan antara fokus utama tahun 2024

Tahun 2024 bakal menjelang dan persatuan serta pertubuhan Melayu/Islam telah mula memikirkan cara membawa masyarakat Melayu/Islam mengharungi cabaran yang mendatang berhubung kenaikan kos kehidupan, penduduk yang menua dan menyediakan peluang untuk belia memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat. Berita Minggu melaporkan.
Dec 10, 2023 | 05:31 AM



Kos kehidupan yang meningkat serta lebih banyak masalah kesihatan ekoran penuaan adalah antara cabaran yang perlu terus ditangani masyarakat Melayu/Islam setempat pada 2024, serupa dengan cabaran yang turut dihadapi masyarakat Singapura yang lebih luas sedang penduduk di sini semakin menua dan dalam tempoh inflasi lebih tinggi kini.

Terdapat juga cabaran yang timbul ekoran ‘masalah gembira’ – ramai relawan yang mahu menyumbang dalam era pasca-Covid-19, dan juga kemungkinan perselisihan faham antara generasi muda dan generasi lebih tua berhubung pekerjaan dalam tahun baru ini.

Demikian dikongsikan beberapa pemimpin persatuan dan pertubuhan Melayu/Islam yang dihubungi Berita Minggu (BM) baru-baru ini tentang cabaran yang menanti masyarakat Melayu/Islam setempat dan pertubuhan masing-masing dalam tahun akan datang.


Naib Presiden Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Nurhidayati Suphan, berkata cabaran kesihatan yang dijangka dihadapi masyarakat Melayu/Islam Singapura pada 2024 termasuk lebih banyak masalah perubatan ekoran penduduk yang menua.

“Apa yang dialami masyarakat lain akan juga dialami oleh masyarakat kita. Perbezaannya adalah sama ada kita dapat menanganinya lebih cepat daripada mereka. Maknanya jika mereka bersedia melakukan lebih banyak senaman, kita juga perlu sama. Jika mereka mengubah diet mereka, kita juga perlu mengubah diet kita.

“Saya berharap keadaan kesihatan masyarakat Melayu/Islam lebih baik daripada purata nasional. Saya mahu masyarakat kita lebih serius dalam menjaga kesihatan,” tambahnya, yang juga pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Pakar Pacific Healthcare.

Dr Nurhidayati berkata cabaran kesihatan di kalangan warga emas ini perlu diberi perhatian dalam masyarakat Melayu/Islam kerana warga emas membentuk sejumlah besar jemaah yang menunaikan ibadah haji setiap tahun.

Beliau berkata jemaah perlu cergas dan sihat kerana ibadah itu menghendaki jemaah berjalan kaki agak jauh.

“Bagi orang lebih berumur yang menunaikan ibadah haji, ia tidak begitu mudah. Jadi adalah lebih baik jika mereka lebih cergas,” katanya.

Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata kos kehidupan yang semakin meningkat adalah satu cabaran besar yang kini dihadapi masyarakat Melayu/Islam setempat.

“Lebih banyak bantuan harus diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah membiayai kos keperluan asas dan juga mereka yang mungkin tidak dapat mencapai aspirasi kerjaya mereka kerana menghadapi isu sistemik dan akses kepada peluang,” katanya.

Beliau turut menyebut tentang cabaran antara generasi yang boleh menimbulkan kurang persefahaman antara generasi berbeza.

Memberi contoh, Encik Mohksin berkata dalam isu pekerjaan, generasi muda atau golongan belia mungkin lebih cenderung terhadap pekerjaan ‘moden’ seperti menjadi pempengaruh media sosial atau penerbit kandungan di YouTube, atau melakukan pekerjaan gig. Pekerjaan sedemikian bagaimanapun mungkin dilihat oleh ibu bapa mereka sebagai tidak stabil.

“Di sini, ada pentingnya untuk kita terus mengadakan lebih banyak perbincangan dan perbualan terbuka antara satu sama lain agar persefahaman boleh dipertingkatkan,” kata Encik Mohksin.

Beliau turut mengongsi rancangan AMP bagi 2024 iaitu meneruskan usaha memperkasa keluarga Islam di Singapura agar mereka terus berjaya dan berdaya tahan buat generasi-generasi akan datang.

“Di samping itu, kami juga akan fokus terhadap menggembleng tenaga dan kemahiran golongan belia kita agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih besar di dalam masyarakat kita,” katanya.

Mengongsi cabaran khusus yang dialami pertubuhannya, Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain, berkata terdapat ‘masalah’ ramai anak muda yang mahu menyumbang tenaga dan masa sebagai sukarelawan kebelakangan ini tetapi cabarannya adalah dalam memadankan mereka kepada program dan tujuan (causes) yang dekat dengan hati mereka.

“Sejak pandemik berakhir, ramai belia tampil mahu membantu. Mereka ingin tahu bagaimana boleh mereka menyumbang kepada masyarakat. Jadi kami sekarang mempunyai ramai sukarelawan.

“Kami memerlukan tenaga manusia untuk mengendalikan relawan yang banyak ini. Kami mahu menarik perhatian mereka tetapi kami juga mesti ada program yang sesuai dengan apa yang mereka mahukan. Jadi kami perlu mencari jurang untuk mereka boleh memberi sumbangan.

“Memandangkan kami sudah ada program-program seperti Ramadan On Wheels (ROW) dan bahas 4PM, kami perlu fikirkan apakah kami cukup tangkas untuk memperkenalkan program baru dan mendapatkan relawan baru,” kata Encik Nassar.


Beliau menambah, relawan itu terdiri daripada anak muda yang mungkin terdedah kepada kerja sukarelawan ketika di sekolah dahulu, dan mahu terus menyumbang walaupun telah tamat pengajian.

“Saya lihat ramai yang seperti ini dalam masyarakat kita dan saya rasa bangga. Mereka pernah menerima bantuan ketika mereka memerlukan dan kini mereka telah mencapai kejayaan, sudah tamat pengajian dan mempunyai pendapatan sendiri, jadi mereka mahu menyumbang kembali.

“Kitaran itu tidak sahaja dilihat di 4PM. Ini adalah peluang untuk pertubuhan-pertubuhan membuka pintu kepada anak-anak muda ini,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), membayangkan tahun akan datang ini sebagai “tahun sokongan dan kemajuan” yang dicapai dengan memupuk keterangkuman, meluaskan rangkaian dan memperkasakan wanita melalui pendidikan.

“Memandang ke hadapan, kami akan meneruskan usaha kami dalam memupuk sebuah masyarakat yang mana wanita dan keluarga berkembang, dipandu oleh harapan berterusan, perubahan yang membina dan daya tahan.

“Untuk mencapai matlamat kami, kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian sokongan kami dan memperkasa wanita melalui pelbagai program yang boleh diakses di pusat-pusat kami yang memenuhi keperluan pelbagai fasa kehidupan,” kata Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >