Encik Lee Hsien Yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya membayar $200,000 setiap seorang kepada menteri Kabinet, Encik K. Shanmugam dan Dr Vivian Balakrishnan, kerana memfitnah mereka dalam satu hantaran umum di media sosial Facebooknya mengenai penyewaan banglo milik pemerintah di Ridout Road.
Encik Shanmugam, yang merupakan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri; dan Dr Balakrishnan, Menteri Ehwal Luar, telah memfailkan saman fitnah berasingan di Mahkamah Tinggi terhadap Encik Lee pada Ogos 2023.
Encik Lee ialah anak bongsu Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dan adik Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Tindakan undang-undang itu timbul berhubung hantaran di Facebook Encik Lee yang dibuat pada 23 Julai.
Beliau mendakwa menteri-menteri itu telah melakukan perbuatan rasuah dengan meminta Penguasa Tanah Singapura (SLA) memberi mereka layanan keutamaan.
Dalam penghakiman bertulis pada 24 Mei, Hakim Goh Yihan, mendapati bahawa dakwaan fitnah Encik Lee terhadap kedua-dua menteri itu adalah “jenis yang paling teruk”, kerana ia merujuk kepada kewibawaan peribadi, reputasi profesional dan kehormatan mereka, serta sifat teras keperibadian mereka.
Menurut Hakim, Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan adalah pemimpin awam, mempunyai integriti tertinggi serta kedudukan tinggi, manakala Encik Lee juga terkenal di Singapura.
Hakim Goh menambah bahawa terdapat dan masih banyak penerbitan dan penerbitan semula tentang dakwaan fitnah tersebut di Singapura.
Encik Lee, tambah Hakim Goh, tidak memohon maaf atau menarik balik dakwaan yang dibuatnya itu, walaupun diberi peluang berbuat demikian oleh pihak yang menuntut.
Hakim Goh juga mendapati Encik Lee telah bertindak dengan niat jahat, kerana beliau “tahu bahawa perkataan yang menyinggung perasaan itu adalah palsu, bahawa beliau menerbitkannya secara melulu, dan/atau tanpa mengambil kira atau mengambil berat sama ada ia benar atau tidak”.
Hakim berkata niat jahat dalam fitnah bermaksud sebarang niat jahat, dendam atau motif yang salah atau tidak wajar.
Maka ia mewajarkan pemberian bukan sahaja ganti rugi yang lebih tinggi malah ganti rugi yang lebih berat.
Dalam menilai kuantum, Hakim Goh mempertimbangkan dua saman fitnah berasingan yang dibawa oleh Encik Lee Hsien Loong semasa beliau menjadi perdana menteri.
Hakim Goh menganugerahkan $150,000 sebagai ganti rugi am dan $50,000 sebagai ganti rugi lebih berat setiap satu kepada Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg