Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iswaran fail mohon penjelasan pendakwaan kes jenayahnya

May 8, 2024 | 2:30 PM
Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, yang berdepan dengan pertuduhan rasuah, kembali ke mahkamah pada 8 Mei bagi memohon penjelasan berhubung pendakwaan kes-kes jenayahnya.
Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, yang berdepan dengan pertuduhan rasuah, kembali ke mahkamah pada 8 Mei bagi memohon penjelasan berhubung pendakwaan kes-kes jenayahnya. - Foto ST

Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, yang menghadapi tuduhan jenayah membabitkan barangan bernilai lebih $400,000, telah memfail permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan penjelasan mengenai pengendalian pihak pendakwaan terhadap kes jenayahnya.

Beliau tiba bersama pasukan peguamnya di mahkamah sekitar 9.25 pagi pada 8 Mei.

Peguam Kanan Davinder Singh, memberi hujahnya berkaitan kes itu di hadapan Hakim Vincent Hoong, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong.

Satu isu yang disebut oleh Encik Davinder ialah bagaimana perbicaraan terhadap Iswaran harus diteruskan berhubung dua set tuduhan yang dihadapinya – satu berkaitan hartawan hotel dan hartanah, Encik Ong Beng Seng, dan satu lagi berkaitan Encik David Lum Kok Seng, pengarah syarikat Lum Chang Holdings.

Encik Davinder mempersoalkan sama ada tuduhan itu perlu dibicarakan secara berasingan atau patut dibicarakan secara bersama, lapor The Straits Times.

Iswaran kini menghadapi sejumlah 35 pertuduhan jenayah – 32 di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dua kerana rasuah dan satu kerana menghalang proses keadilan.

Nilai barang yang terlibat dalam pertuduhan Seksyen 165 berjumlah $237,015.89, manakala jumlah keseluruhan bagi tuduhan rasuah mencecah $166,282.03.

Dia kali pertama dikenakan 27 tuduhan pada 18 Januari 2024.

Ini termasuk 24 tuduhan mendapatkan barangan yang bernilai $218,058.95 daripada Ong antara November 2015 dengan Disember 2021.

Ia termasuk tiket ke Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Singapura, serta perlawanan bola sepak dan pertunjukan muzik di Britain.

Set pertama tuduhan juga termasuk dua tuduhan rasuah kerana didakwa menerima sogokan berjumlah $166,282.03 daripada Encik Ong, sebagai dorongan untuk memajukan kepentingan perniagaannya berhubung perjanjian antara GP Singapura dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Barangan itu termasuk tiket GP F1 Singapura selain penerbangan dengan pesawat peribadi Encik Ong.

Pada 25 Mac 2024, Iswaran dihadapkan lapan lagi tuduhan mengikut Seksyen 165.

Set tuduhan kedua itu berkaitan dengan barangan bernilai $18,956.94 yang didakwa diperoleh Iswaran daripada Encik Lum.

Barangan itu termasuk botol wiski, kayu golf dan sebuah basikal Brompton yang berharga $7,907.50.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg