Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iswaran lancar inisiatif relawan berbasikal ronda kejiranan

Sep 25, 2022 | 5:30 AM
INISIATIF BARU: Encik S Iswaran (paling kiri) melancarkan inisiatif Guardian Responders on Wheels (GROW). Di bawah inisiatif itu, sukarelawan yang telah dilatih itu akan berbasikal dan menjalankan rondaan bergerak demi memastikan keselamatan di kejiranan mereka. - Foto BM oleh NG SOR LUAN
INISIATIF BARU: Encik S Iswaran (paling kiri) melancarkan inisiatif Guardian Responders on Wheels (GROW). Di bawah inisiatif itu, sukarelawan yang telah dilatih itu akan berbasikal dan menjalankan rondaan bergerak demi memastikan keselamatan di kejiranan mereka. - Foto BM oleh NG SOR LUAN -

DUA inisiatif baru di West Coast dan pembukaan semula Pusat Makanan Ayer Rajah telah dilancarkan pagi semalam oleh Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.

Satu inisiatif untuk memastikan kejiranan selamat telah ditubuhkan oleh pasukan Kecemasan dan Pendekatan Masyarakat (C2E) West Coast.

Inisiatif yang dinamakan Guardian Responders on Wheels (GROW) itu telah dilancarkan di Pusat Makanan Ayer Rajah semalam.

Inisiatif itu bertujuan bagi lapan sukarelawan masyarakat yang terlatih menjadi mata dan telinga bagi pasukan Home Team dan masyarakat.

Para sukarelawan yang telah dilatih itu akan berbasikal dan menjalankan rondaan bergerak untuk memastikan kejadian yang mencurigakan dilaporkan untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Pengerusi West Coast C2E, Encik Tan Tuang Siang, ia juga bermatlamat untuk menggalakkan semua penduduk mempunyai kemahiran menyelamatkan nyawa, meningkatkan kesedaran denggi serta berbasikal dengan selamat.

"West Coast GROW akan terus mendekati para penduduk, untuk menggalakkan kepentingan dan kesedaran tentang persediaan kecemasan dalam masyarakat.

"Kami juga akan meningkatkan kesediaan masyarakat dalam menjalankan lebih banyak kursus menyelamatkan nyawa untuk penduduk supaya mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk membantu keluarga dan jiran-jiran mereka dalam masa kecemasan," kata beliau.

Selain itu, pelancaran itu juga meraikan pembukaan semula Pusat Makanan dan Pasar Ayer Rajah yang telah ditutup tiga bulan untuk kerja-kerja naik taraf.

Turut diadakan ketika pelancaran itu adalah Majlis Tamat Pengajian Digital SG serta pelancaran kumpulan sokongan digital.

Para penjaja dan pedagang di Pusat Makanan dan Pasar West Coast telah bekerja keras dengan semangat untuk mempelajari kemahiran-kemahiran digital seperti SingPass, Zoom dan Facebook.

Inisiatif yang dianjurkan oleh Pejabat Digital SG itu menubuhkan satu kumpulan sokongan digital yang baru di Pusat Makanan dan Pasar Ayer Rajah untuk membantu para penjaja dan pedagang untuk terus meningkatkan pengetahuan digital mereka.

Di pelancaran itu, Encik S Iswaran turut berkongsi maklumat mengenai fasa kedua rancangan pembinaan stesen MRT Laluan Rentas Pulau (CRL) dan stesen West Coast.

Pembangunan yang dinanti-nantikan itu akan meningkatkan akses penduduk kepada rangkaian kereta api dan bas yang sedia ada, membantu memendekkan masa perjalanan harian mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg