Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iswaran: Reka huraian kreatif demi penuhi keperluan masyarakat

Mar 20, 2021 | 5:30 AM
CARI HURAIAN: Dialog semalam dihadiri (dari kiri) Pengarah Eksekutif DesignSingapore Council, Encik Mark Wee; usahawan, James Dyson (dalam video); Encik S. Iswaran; rakan kongsi Bjarke Ingels Group, Encik Brian Yang (dalam video) dan Presiden SUTD, Encik Chong Tow Chong di Forum ST-STUD Design Innovation semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM
CARI HURAIAN: Dialog semalam dihadiri (dari kiri) Pengarah Eksekutif DesignSingapore Council, Encik Mark Wee; usahawan, James Dyson (dalam video); Encik S. Iswaran; rakan kongsi Bjarke Ingels Group, Encik Brian Yang (dalam video) dan Presiden SUTD, Encik Chong Tow Chong di Forum ST-STUD Design Innovation semalam. - Foto BH oleh KEVIN LIM -

MENTERI Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, semalam menggariskan tiga pemerhatian berkaitan pemikiran dalam bidang rekaan, sesuai dengan keadaan dunia yang pesat berubah dan perubahan teknologi yang tidak dijangka.

Ini termasuk:

- Potensi untuk membuka kemungkinan baru dan menarik, terutama di tengah-tengah digitalisasi yang pesat;

- Keupayaan untuk membantu melayani masyarakat dengan lebih baik dan membina masyarakat lebih inklusif dan progresif; dan

- Fokus kepada perundingan dan perkongsian, yang akan menjadi penting terutama ketika Singapura keluar daripada Covid-19.

Bercakap dalam Forum ST-STUD Design Innovation, Encik Iswaran, ketika menyampaikan ucaptamanya, berkata kemajuan yang ada hari ini telah menjadikan dunia kita lebih saling berkait, justeru pergolakan di tempat lain boleh membawa akibat yang tidak dijangka bagi ekonomi dan masyarakat di seluruh dunia.

Contoh yang jelas ialah Covid-19.

"Pergeseran ini telah memperkenalkan cabaran rumit dan rentas sempadan yang tidak dapat diselesaikan dalam domain tradisional.

"Jalan penyelesaiannya terletak kepada tindak balas kreatif dan antara disiplin. Kita mesti mengumpulkan keupayaan dan pandangan yang pelbagai, untuk membuka nilai dan peluang," kata beliau.

Dengan fokus secara konsisten terhadap keperluan masyarakat, pemikiran dalam reka bentuk memungkin untuk pereka mendapatkan respons yang lebih meyakinkan.

Mengenai potensi membuka kemungkinan baru di tengah-tengah digitalisasi, beliau berkata digitalisasi telah mendorong syarikat-syarikat di sini untuk mempertimbangkan semula premis dan model perniagaan mereka.

Peniaga perlu sesuaikan dengan cara baru menjalankan perniagaan - menjadikan kesukaran sebagai satu peluang, bahkan sebagai kekuatan.

"Sekarang, sebagai negara dunia pertama, pemikiran reka bentuk akan menjadi penting bagi kita untuk mengubah Singapura lagi, dan untuk kekal sebagai bandar yang hebat di dunia."

Kata beliau Singapura berada dalam posisi yang baik untuk menyokong perniagaan dalam memperluas alat-alat yang digunakan bagi mereka bentuk.

Sebagai contoh, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan PIXEL, ruang inovasi yang menyediakan kemudahan, kepakaran dan program untuk perniagaan untuk bereksperimen dan membina pengalaman digital yang berpusatkan pelanggan.

Mengenai memikirkan reka bentuk yang berpusatkan manusia dan inklusif, beliau berkata ini membolehkan dasar dan program yang lebih berkesan yang meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kata beliau, sebanyak 98 peratus isi rumah di Singapura mempunyai akses ke rangkaian jalur lebar dan memiliki peranti berkemampuan Internet.

Ramai yang mendakap digital dalam kehidupan mereka dan menikmati faedahnya.

"Tetapi masih ada sebahagian masyarakat kita, seperti sebilangan warga tua kita, yang merasa sukar untuk menyesuaikan diri dan mereka risau jika rasa ketinggalan," tambah beliau.

Pemerintah, kata beliau, bertekad untuk merapatkan jurang ini, sehingga setiap individu dapat memperoleh kelebihan digital.

Tetapi pemerintah tidak dapat menangani masalah ini secara sendirian.

"Kita perlu memanfaatkan minat, rangkaian dan keupayaan yang pelbagai di kalangan seluruh masyarakat, dan menjadikannya sebagai Usaha Singapura Menyeluruh. Oleh itu, pesanan terakhir saya - bekerjasamalah dengan rakan kongsi untuk mencapai hasil yang berkesan," kata Encik Iswaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg