PERLU ada isyarat jelas bahawa anak-anak yang mampu dari segi kewangan harus menanggung ibu bapa yang telah menjaga mereka secara bertanggungjawab dahulu.
Demikian menurut kumpulan kerja semakan Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA), yang baru-baru ini menyarankan empat pindaan kepada akta tersebut untuk mencapai keseimbangan antara melindungi warga emas yang mudah terjejas dengan melindungi anak daripada penyalahgunaan MPA.
Salah satu pindaan yang disarankan adalah memperkasa pesuruhjaya penyaraan ibu bapa untuk mencari anak ibu bapa yang hidup melarat tanpa perlu permohonan rasmi daripada ibu bapa.
"Kumpulan kerja itu, dengan perundingan bersama Afam (Perikatan untuk Bertindak bagi Mengukuhkan Perkahwinan dan Hubungan Keluarga), melihat perlunya untuk terus memberi isyarat jelas dalam masyarakat bahawa anak yang mampu dari segi kewangan harus menanggung ibu bapa yang menjaga mereka secara bertanggungjawab dahulu," kata kumpulan kerja itu.
Satu lagi pindaan yang disarankan, ibu bapa yang mempunyai rekod mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak, perlu mendapatkan izin Tribunal Penyaraan Ibu Bapa dahulu sebelum melaksanakan proses pendamaian bersama anak mereka di pejabat Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa.
Kumpulan Kerja bagi Semakan MPA itu diterajui sembilan Anggota Parlimen, dan dipengerusikan Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade).
Anggotanya yang lain termasuk Encik Murali Pillai (Bukit Batok), Cik Tin Pei Ling (MacPherson), Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade), Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio), Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar), Cik Carrie Tan (GRC Nee Soon) dan Encik Melvin Yong (Radin Mas).
Kumpulan itu ditubuhkan pada Oktober 2021 untuk menyemak akta yang kali terakhir dipinda pada 2010 itu sebagai sebahagian usaha memastikan keperluan warga tua dipenuhi.
Pada Januari hingga Februari lalu, satu tinjauan melibatkan 1,000 responden telah dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha mendapatkan pandangan orang awam mengenai semakan MPA.
Pada 14 November lalu, kumpulan itu melancarkan perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas tentang pindaan yang disarankan itu.
"Setelah perundingan itu ditutup pada 9 Disember lalu, kami telah menerima hampir 50 respons daripada anggota awam.
"Pandangan yang dikemukakan adalah bernas, menggalakkan dan secara umumnya menyokong semangat di balik pindaan itu," kata Encik Seah dalam satu pos di Facebook pada 20 Disember lalu.
Katanya lagi, kumpulan kerja itu akan mengkaji semua saranan secara teliti sedang kumpulan itu merancang memperkenalkan Rang Undang-Undang Pindaan itu tahun depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg