PELAJAR Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan meneruskan pembelajaran dari rumah sehingga 8 Mei ini, sebelum mereka menikmati cuti penggal, kata ITE dalam kenyataannya lewat malam tadi.
Menyusuli langkah tambahan pemutus litar dan sejajar dengan langkah terbaharu Kementerian Pendidikan (MOE) yang mengumumkan cuti sekolah dipercepatkan ke 5 Mei ini, tempoh cuti bagi pelajar ITE juga dipercepatkan, dari pertengahan Jun ke 9 Mei ini, dan berakhir pada 1 Jun.
Latihan akan disambung semula pada 2 Jun.
"Pendidikan ITE berteraskan latihan amali. ITE menekankan pembelajaran tulen dengan menyediakan latihan amali dalam sekitaran industri berkaitan. Melihat kepada lanjutan tempoh 'Pemutus Litar', ITE akan menyemak kalendar akademik dalam usaha memaksima masa yang ada untuk pembelajaran secara amali, meningkatkan sepenuhnya pengalaman pendidikan penuntut. Bagaimanapun tidak ada perubahan dari segi jumlah minggu latihan," kata ITE dalam kenyataannya.
Perubahan utama bagi kalendar akademik melibatkan kesemua pelajar Nitec, Sijil Tinggi Nitec dan Diploma Teknikal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg