Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ITE tawar 17 kursus baru Nitec Lanjutan jelang 2025

Dec 16, 2024 | 5:43 PM
Langkah menawarkan lebih kursus Nitec Lanjutan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkenalkan kurikulum tiga tahun yang dipertingkatkan.
Langkah menawarkan lebih kursus Nitec Lanjutan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkenalkan kurikulum tiga tahun yang dipertingkatkan. - Foto ST

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) bakal melancarkan 17 kursus baru Nitec Lanjutan menjelang 2025.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkenalkan kurikulum tiga tahun yang dipertingkatkan, untuk membolehkan pelajar terus memperoleh pensijilan Nitec Lanjutan.

Struktur kurikulum baru ini, yang disasarkan pelaksanaan sepenuhnya bermula Tahun Akademik (AY) 2026, direka untuk menyediakan para lulusan ITE dengan kemahiran industri yang lebih mendalam.

Ini dengan meningkatkan daya kerja mereka dan menyediakan asas yang kukuh untuk pendidikan lanjut, serta peningkatan kemahiran sepanjang kerjaya mereka.

Menurut kenyataan media pada 16 Disember, pelaksanaan telah bermula sejak 2022, dengan 25 kursus Nitec Lanjutan telah diperkenalkan setakat ini.

Dengan penambahan sebanyak 17 kursus seperti Reka Bentuk Komunikasi, Seni Kulinari dan Pengalaman Pelanggan, jumlah keseluruhan sebanyak 42 kursus akan ditawarkan menjelang 2025.

Sebelum ini, program Nitec dan Nitec Lanjutan ditawarkan secara berasingan, masing-masing mengambil masa dua tahun untuk menamatkannya.

Di bawah kurikulum baru ini, pelajar akan memulakan kursus asas pada tahun pertama untuk membangunkan kemahiran yang relevan mengikut keperluan industri.

Pada tahun kedua dan ketiga, mereka akan melanjutkan pengajian melalui modul khusus, yang bakal membawa mereka kepada pensijilan Nitec Lanjutan.

Satu ciri utama kurikulum yang dipertingkatkan adalah tumpuan kepada program latihan amali.

Para pelajar akan mendapat manfaat daripada dua latihan amali yang dijalani mereka, tiga bulan semasa di tahun kedua dan enam bulan pada tahun seterusnya.

Disokong oleh rakan industri ITE, program latihan amali direka untuk membangunkan kecekapan praktikal secara progresif yang dapat menyediakan pengalaman yang berharga untuk meningkatkan hasil pembelajaran dan daya kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Cik Low Khah Gek, berkata struktur kurikulum Nitec Lanjutan yang dipertingkatkan adalah fleksibel dan disesuaikan kepada keperluan industri.

“Dengan latihan industri yang dilanjutkan, pelajar menguasai kemahiran yang lebih mendalam dan pengalaman praktikal.

Ini membolehkan mereka cemerlang dalam tenaga kerja serta merebut peluang baru untuk berkembang,” tambah Cik Low.

Permohonan bagi kursus Nitec Lanjutan tiga tahun dan Nitec dua tahun dibuka kepada pelajar yang mempunyai Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ dan ‘O’.

Para pelajar boleh memohon kemasukan ke kursus ini melalui Pendaftaran Pengambilan Bersama (JIE) dari 16 Disember, 2.30 petang; hingga 19 Disember, 5 petang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg