Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ITE umum 5 kursus diploma baru mulai 2025

Oct 24, 2024 | 6:13 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman berkata Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan terus meluaskan program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) bagi menawarkan lebih ramai pelajar peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui laluan tersebut.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman berkata Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan terus meluaskan program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) bagi menawarkan lebih ramai pelajar peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui laluan tersebut. - Foto ST

Lebih ramai pelajar bakal berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berikutan lima kursus diploma baru ditawarkan pada 2025, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Berucap semasa Majlis Penyampaian Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) ITE 2024 yang diadakan di Ibu Pejabat ITE pada 24 Oktober, Dr Maliki berkongsi bahawa seramai 1,700 pelajar dijangka mendaftar dalam kursus itu.

Ia akan membolehkan sekitar 15 peratus lulusan ITE layak ke peringkat diploma dengan institut berkenaan pada 2025.

Beliau juga menyatakan bahawa lulusan diploma ITE memperoleh gaji setanding dengan pemegang diploma politeknik.

Dr Maliki berkata: “ITE akan terus meluaskan Diploma Bekerja dan Belajar bagi menawarkan lebih ramai pelajar peluang meningkatkan kemahiran melalui laluan tersebut.

“Bagi pelatih yang menamatkan pengajian pada 2023, lebih daripada 9 dalam 10 kini bekerja sepenuh masa enam bulan selepas tamat pengajian.”

Gaji median bulanan mereka tambah beliau ialah $2,850 iaitu setanding dengan lulusan diploma politeknik sepenuh masa.

“Ini adalah lonjakan ketara daripada gaji median bulanan $2,000 yang mereka terima pada permulaan kursus,” ujar Dr Maliki.

Lima kursus diploma baru itu ialah penjagaan masyarakat, paraperubatan, kejuruteraan tenaga bersih, bimbingan kesihatan dan senaman, serta pengurusan sumber manusia.

Menurut kenyataan ITE pada 24 Oktober, dengan kursus baru itu, ITE menjangka akan mengambil 1,700 pelajar bagi program diploma pada 2025, meningkat daripada sekitar 1,400 pada 2024.

Sepanjang dua setengah hingga tiga tahun, pelajar yang berada dalam program WSDip bekerja sepenuh masa sambil mengikuti kursus di ITE, sebelum memperoleh diploma.

Terbuka kepada kebanyakan lulusan ITE, program WSDip kini bekerjasama dengan lebih 900 syarikat, yang menggaji pelajar dan menawarkan mereka pengalaman pembelajaran dan bimbingan, kata ITE.

Program WSDip dalam kursus penyepaduan dan pengurusan penjagaan masyarakat, paraperubatan dan pengurusan sumber manusia, yang bakal dilancarkan pada 2025, akan mengambil sekitar 85 pelajar secara keseluruhan.

Dua lagi diploma dalam sektor baru muncul – tenaga bersih, serta kesihatan dan kejurulatihan senaman – yang bakal dilancarkan pada 2025, akan mengambil seramai 60 pelajar.

Diploma kejuruteraan teknikal secara sepenuh masa dalam kejuruteraan elektrik (tenaga bersih) akan ditawarkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan (MEYS), Baden-Wurrtemberg di Jerman.

Diploma teknikal dalam bidang kesihatan dan kejurulatihan senaman yang juga program sepenuh masa, akan ditawarkan dengan kerjasama Majlis Latihan Vokasional Hong Kong, penyedia pendidikan dan latihan vokasional profesional terbesar.

Pelajar dalam kedua-dua program itu akan berpeluang menyertai program pertukaran luar negara di Perancis, Jerman, Hong Kong dan Switzerland di samping bekerja sambilan dalam industri. 

Dengan dua kursus teknikal baru itu, ITE menawarkan sejumlah lapan diploma teknikal pada 2025.

Menjelang April 2025, ITE akan menawarkan 45 kursus WSDip dengan lebih daripada 900 syarikat. 

Sejak pelancaran WSDip pada 2018, terdapat seramai 100 pelajar dalam empat kursus.

pada 2024, ITE menerima kira-kira 1,300 pelatih dalam 40 program merentasi pelbagai industri, kata Dr Maliki.

Kohort kelima program WSDip ITE 2024 menyaksikan seramai 749 lulusan dengan 37 pelajar menerima pingat kecemerlang dalam kursus mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg