DEWAN majlis perkahwinan Orange Ballroom dan seorang pengatur acara didakwa melanggar langkah jarak selamat Covid-19 selepas membenarkan 235 tetamu menghadiri satu majlis perkahwinan pada 30 Januari, walaupun hanya 100 orang dibenarkan.

Semalam, Orange Ballroom didakwa dengan satu tuduhan di bawah Peraturan (Perintah Kawalan) (Langkah Sementara) Covid-19, manakala Osman Arrifin, 59 tahun, didakwa dikenakan dua tuduhan di bawah akta sama.

Mahkamah diberitahu bahawa kedua-duanya dijangka mengaku bersalah.

Majlis perkahwinan itu dikatakan dibahagikan kepada tiga majlis jamuan di Orange Ballroom di tingkat tiga Kompleks Tanjong Katong di Geylang.

Osman didakwa gagal memastikan tidak lebih 100 orang menghadiri majlis perkahwinan itu, selain gagal memastikan tetamu yang diperuntukkan masa bagi menghadirinya tidak menyertai majlis itu pada waktu lain.

Dia juga didakwa membenarkan 18 tetamu menghadiri lebih daripada satu majlis jamuan.

Orange Ballroom didakwa membenarkan 235 orang menghadiri tiga majlis perkahwinan, sekali gus gagal memastikan jumlah maksimum hadirin bagi keseluruhan majlis tidak melebihi 100 orang.

Menurut dokumen mahkamah, setiap daripada tiga majlis jamuan itu masing-masing mempunyai 60, 62 dan 73 orang.

Orange Ballroom didakwa gagal memastikan jumlah hadirin pada setiap majlis tidak melebihi 50 orang.

Dewan itu juga didakwa membenarkan 18 orang menghadiri lebih daripada satu majlis jamuan itu.

Kes-kes itu akan didengar di mahkamah pada 20 Disember.

Bagi setiap tuduhan melanggar peraturan Covid-19, pesalah kali pertama boleh dihukum denda hingga $10,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-dua hukuman.

Pesalah berulang boleh didenda hingga $20,000, dipenjara hingga 12 bulan, atau dikenakan kedua-dua hukuman.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti