TERDAPAT sejumlah 2,653,942 pengundi yang didaftarkan dalam Daftar Pengundi telahpun disahkan hari ini, menurut Jabatan Pilihan Raya dalam menyataannya hari ini.
Orang ramai boleh memeriksa Daftar Pengundi secara elektronik di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD) atau menerusi aplikasi SingPass Mobile, dengan mengunjungi 'Profil' pengguna di bawah Daftar Pengundi.
Warga Singapura yang nama mereka dikeluarkan daripada Daftar Pengundi kerana tidak mengundi pada masa lalu boleh mendaftar semula nama menerusi Khidmat Pengundi di laman ELD, agar mereka boleh mengundi dalam pilihan raya pada masa depan.
"Mereka digalakkan untuk membuat permohonan seawal yang boleh, kerana di bawah undang-undang, kami tidak boleh mendaftarkan nama mereka mulai tarikh keluar writ pilihan raya selepas Hari Penamaan Calon jika pilihan raya tidak dipertandingkan, atau selepas Hari Mengundi, sekiranya pengundian berlangsung," kata ELD dalam kenyataannya itu.
Bagi warga Singapura yang tinggal di Singapura bagi jangka waktu sekurang-kurangnya 30 hari dalam tempoh tiga tahun antara 1 Mac 2017 hingga 29 Februari 2020, boleh memohon untuk berdaftar sebagai pengundi luar negara untuk mengundi di salah satu pusat mengundi yang ditetapkan di negara luar. Bagi mengetahui senarai pusat mengundi di luar republik ini, orang ramai boleh mengunjungi laman ELD.
"Kami menggalak warga Singapura yang layak mengundi di luar negara untuk berdaftar atau mendaftar semula secepat mungkin menggunakan kemudahan Khidmat Mengundi di laman ELD. Di bawah undang-undang, permohonan tidak akan diproses semasa tempoh dari 3 hari writ pilihan raya dikeluarkan sehingga selepas Hari Penamaan Calon sekiranya tidak ada pertandingan, atau selepas Hari Mengundi sekiranya ada pertandingan," terang ELD.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg