Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadi keldai wang 'kekasih' warga Nigeria: Wanita dijel 18 minggu

May 12, 2023 | 5:30 AM
KELDAI WANG: Faridah Rashid dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu kerana berurusan dengan faedah hasil perbuatan jenayah.
KELDAI WANG: Faridah Rashid dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu kerana berurusan dengan faedah hasil perbuatan jenayah. -

SEORANG wanita jatuh cinta dengan ahli kumpulan penjenayah Nigeria yang menjalankan penipuan cinta dari Malaysia, kemudiannya menjadi keldai wang untuk membawa keluar hasil penipuan dari Singapura.

Pada Khamis, Faridah Rashid, 51 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan berurusan dengan faedah hasil daripada perbuatan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu.

Antara 7 dengan 22 Februari 2019, akaun bank Faridah digunakan untuk menerima $65,000 daripada beberapa mangsa penipuan di Singapura.

Faridah akan mengeluarkan wang tersebut dan membawanya ke Malaysia untuk diberi kepada Awolola Oladayo Opeyemi.

Faridah merupakan warga Singapura kedua yang dikaitkan dengan lelaki Nigeria itu kerana berperanan sebagai keldai wang.

Februari lalu, Suhaili Suparjo, 33 tahun, dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan selepas dia mengaku bersalah atas dua tuduhan membantu orang lain melakukan jenayah melibatkan lebih $356,000.

Suhaili jatuh cinta dengan lelaki sama dan mempunyai anak bersama lelaki tersebut.

Pada Disember 2021, Awolola, yang ketika itu berusia 37 tahun, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Daerah selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan bekerjasama dengan orang lain untuk menerima faedah hasil daripada perbuatan jenayah yang dikaitkan dengan kerugian lebih $550,000.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Jordon Li, berkata bagi kes melibatkan penipuan cinta itu, ia dilakukan dengan penipu mengenali mangsa dan menggunakan identiti palsu menerusi Internet.

Penipu itu kemudian akan memulakan hubungan dengan mangsa untuk mendapatkan kepercayaan mereka, sebelum meminta wang daripada mereka.

Faridah mulanya mengenali Awolola sebagai "Jerry". Awolola kemudian menghubungi Faridah dengan mendakwa bahawa "Jerry" telah memberinya nombor Awolola dan mereka mula bersembang di WhatsApp.

Awolola kemudian meminta Faridah untuk memberi butiran akaun banknya dan menyuruh tertuduh mengeluarkan duit yang diterimanya dan memberinya di Malaysia.

Pada 16 April 2019, polis Malaysia menahan Awolola di Kuala Lumpur dan dibawa ke Singapura untuk didakwa di mahkamah.

Faridah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda hingga $500,000 atas kesalahannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg