Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadi warga Muslim S’pura yang baik, cinta pada negara

Aug 9, 2024 | 5:30 AM
Dalam menyambut Hari Kebangsaan, disarankan kita mengamalkan prinsip-prinsip Islam dan menjadi rakyat teladan agar kita dapat menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara tercinta ini.
Dalam menyambut Hari Kebangsaan, disarankan kita mengamalkan prinsip-prinsip Islam dan menjadi rakyat teladan agar kita dapat menyumbang kepada kemakmuran dan keharmonian negara tercinta ini. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

USTAZ MD IDRIS RIFAIE 

Singapura adalah sebuah negara dinamik, terkenal dengan keharmonian antara pelbagai agama, budaya dan bangsa. Masyarakat berbilang budaya ini mencerminkan intipati perpaduan dalam kepelbagaian.

Menjelang Hari Kebangsaan, penting bagi kita sebagai umat Islam merenung tentang kepentingan mencintai negara dan menjadi warganegara yang baik di samping menegakkan nilai Islam.

Islam menitikberatkan cinta kepada tanah air dan kepentingan mempertahankannya. Nabi Muhammad saw bersabda, “Cinta kepada tanah air adalah sebahagian daripada iman”. Ini mengajar kita bahawa cintakan negara bukan sahaja perasaan semula jadi bahkan anjuran agama bagi umat Islam.

Dengan mencintai tanah air, Islam menjadikan kita supaya menjaga dan memelihara negara sebagai matlamat syariat, dan ia menjadi kesalahan bagi sesiapa yang melanggarnya. Allah berfirman: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya.” (Surah Al-A’raf, ayat 56)

Satu contoh dalam sejarah ialah dalam masyarakat Islam awal di Madinah, di mana Nabi Muhammad saw mengasaskan masyarakat berdasarkan keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap semua individu tanpa mengira latar belakang mereka.

Dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan suku kaum supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Ayat ini menekankan pentingnya perpaduan dan pemahaman dalam kalangan masyarakat yang berbeza, menggalakkan keharmonian dan toleransi dalam masyarakat.

Begitu juga, baginda menekankan kepentingan menjadi warganegara yang baik dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

Nabi saw bersabda, “Orang yang terbaik antara kamu adalah yang paling memberi manfaat kepada orang lain.” Hadis ini menggalakkan umat Islam mengambil bahagian secara aktif dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan berkhidmat kepada negara dengan penuh keikhlasan dan dedikasi.

Dengan pengetahuan Islam yang betul, kita menjadi seorang Muslim dan juga warganegara yang baik. Islam mengajar kita agar menjadi seorang yang jujur, adil dan berbelas kasihan yang berusaha mengekalkan nilai-nilai keamanan, toleransi dan menghormati semua. Dengan mengikuti ajaran Islam, kita dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat dan menjadi contoh terbaik kepada orang lain.

Wadah seperti kelas-kelas aLIVE dan ADIL menawarkan kursus dan kelas berstruktur yang dikendalikan oleh asatizah bertauliah, menyampaikan ajaran Islam mengikut konteks masa kini dan membimbing kita dalam perjalanan menjadi Muslim lebih baik dan warganegara bertanggungjawab.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai kelas dan kursus aLIVE dan ADIL, sertailah acara ‘LearnIslam Day’ pada Sabtu, 17 Ogos ini, di Begonia Pavilion, Downtown East. Acara diadakan dari 9 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, pengunjung juga boleh sertai pelbagai kegiatan menarik termasuk seminar ‘ADIL Knowledge Retreat’ yang bakal membincangkan tajuk ‘Keibubapaan dan Teknologi (Parenting & Technology)‘ dan ‘Segarkan Kembali Keimanan (Renewing Faith)‘ dan menampilkan asatizah tempatan seperti Ustaz Mizi Wahid, Ustazah Syariati Sulaiman dan Ustaz Nuzhan Abdul Halim serta selebriti terkenal seperti Sujimy Mohamad, Dzar Ismail, Dyn Norahim dan Shenty Feliziana.

Penulis merupakan Pegawai Dakwah di Masjid Yusof Ishak.

Laporan berkaitan
ADIL perkenal rahat edisi RamadanJul 24, 2024 | 9:40 AM
aLIVE dan terus 'bertenaga'...Jul 16, 2024 | 10:53 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg