Topik diikuti
Pergi ke BHkuJagaan kesihatan bersepadu bagi pekerja migran sedang dirancang
Jagaan kesihatan bersepadu bagi pekerja migran sedang dirancang
SINGAPURA akan merombak cara ia menyediakan khidmat penjagaan kesihatan kepada pekerja migran menjangkau pandemik Covid-19, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
"Satu ekosistem penjagaan kesihatan utama bersepadu, yang menyediakan khidmat menyeluruh di enam lokasi, sedang dirancang," katanya semalam, sambil menambah beliau akan memberi maklumat lanjut mengenai rancangan itu apabila butirannya siap.
Dr Tan berkata demikian dalam satu pos Facebook selepas melawat Kemudahan Pemulihan Terpusat (CRF) Sungei Tengah Lodge bersama Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon.
CRF ditubuhkan sebagai tempat pemulihan pekerja dijangkiti yang sudah divaksin sepenuhnya dan mempunyai gejala ringan atau tiada gejala, sejajar protokol terbaru Kementerian Kesihatan (MOH).
Lebih 5,000 katil di CRF telah ditubuhkan dalam masa sebulan, dengan tambahan 6,000 katil di Kemudahan Pemulihan Dormitori di 48 asrama, kata Dr Koh dalam satu pos berasingan di Facebooknya.
Dr Tan berkata peralihan ke protokol penjagaan kesihatan baru dan usaha memastikan pekerja, majikan dan pengendali dormitori mematuhinya adalah satu operasi berterusan dan besar-besaran.
"Seperti mana-mana operasi pada skala seperti itu, pasukan kami di lapangan menghadapi isu peralihan minggu lalu, yang menyebabkan keprihatinan dan kekeliruan bagi pekerja," ujar Dr Tan.
Sejak itu, pegawai MOM kini berusaha menstabilkan keadaan, serta melibatkan rakan pertubuhan bukan pemerintah dan majikan bagi mendekati pekerja dan pengendali kemudahan.
Sepanjang setahun lalu, MOM juga berusaha memperkukuh daya tahan pekerja migran, sedang Singapura beralih ke arah Covid-19 yang endemik, kata Dr Tan.
Antara lain, MOM menubuhkan Pusat Perubatan Daerah, dan pusat perubatan di dormitori besar, yang menyediakan jagaan kesihatan utama kepada pekerja.
Menurut Dr Tan, lebih 97 peratus pekerja di dormitori telah menerima vaksin penuh, dan beliau menggalakkan pekerja lain mengambilnya.