ERA pelancongan Islam kini berubah dengan orang ramai dibolehkan mengerjakan umrah secara sendiri tanpa ejen kerana terdapat pelbagai kemudahan disediakan kerajaan Arab Saudi.

Tetapi, bagi pasangan selebriti Jai Wahab dan Rozza Ramli, cabaran membelenggu ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) itu dilihat sebagai peluang menembusi pasaran tersebut.

Setelah meraih pengalaman manis menjalankan umrah sekeluarga pada 10 hari terakhir Ramadan lalu secara privet, mereka terfikir, bagaimana dapat menawarkan pengalaman peribadi seperti itu kepada pelanggan di luar sana.

Lantas pasangan yang menguruskan salon wanita dan keluarga Karva - yang mempunyai lima cawangan di sini dan satu cawangan di Kuala Lumpur - memutuskan untuk menubuhkan Karva Travel & Tours yang bakal dirasmi September ini.

Ketika dihubungi, Rozza berkata, beliau dan suaminya berhasrat mengatur perjalanan umrah mengikut kesesuaian peribadi, dengan kerjasama Syarikat Anwaar Al-Himam Umrah & Holidays - sebuah syarikat yang ditubuhkan sejak 2008 dan agensi pertama menawarkan visa umrah di sini.

Menurutnya, mereka ingin mengutamakan ketenangan dalam perjalanan, penginapan premium dan bermutu tunggi menerusi harga berpatutan kepada jemaah.

"Kami bukan sahaja ingin menarik jemaah biasa yang selalunya pelanggan lebih tua, malah pelanggan profesional dan menginginkan perjalanan umrah bagi mereka dan keluarga," kata Rozza, ibu empat anak.

Usahawan itu juga berharap dapat menghapuskan tanggapan bahawa umrah itu perjalanan sekali seumur hidup untuk jemaah yang 'sudah bersedia' sahaja.

"Selalunya bila umrah, kami sering menganggapnya sebagai satu perjalanan yang dijalankan pada usia tua dan jemaah seolah harus berada dalam tahap bersedia sebelum pergi ke Tanah Suci," kata Rozza.

"Kami ingin mengubah tanggapan itu dan kami fikirkan, perjalanan ke Tanah Suci itu satu pengalaman yang membawa penuh pengajaran dan berkat bagi setiap jemaah," tambahnya.

Malah sesudah jemaah pulang, Rozza berkata beliau sedang bekerjasama dengan salah seorang asatizah untuk menawarkan kelas pendidikan lanjutan.

Ia adalah untuk mendidik jemaah bahawa umrah itu adalah sebagai sebahagian perjalanan hidup yang dapat membawa banyak manfaat dari segi kerohanian dan hubungan mereka dengan agama sepanjang hayat.

Namun Jai dan Rozza akur terhadap tarikan visa pelancong yang lebih murah dan membolehkan pelawat mengaturkan penginapan mereka di Kerajaan Arab Saudi malah melakukan umrah secara bebas sendiri.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pemegang visa pelancong dan komersial dari 49 negara - termasuk Singapura - dibolehkan menunaikan umrah dengan membuat tempahan menerusi satu aplikasi di situ.

Jai memberitahu, visa seperti itu mungkin menjadi tarikan bagi mereka yang lebih berpengalaman mengerjakan umrah atau lebih gemar melakukan perjalanan bebas dan sendiri.

"Namun kemudahan daripada visa umrah membawa lebih banyak manfaat dan jaminan daripada aturan perjalanan seperti itu," kata Jai.

Sekurang-kurangnya jemaah dijamin insurans yang meliputi pelbagai keadaan kesihatan serta membolehkan mereka mendapat rawatan di kemudahan kesihatan di situ, jelas Jai.

Karva Travel & Tours itu bakal membawa kumpulan jemaah pertamanya ke Tanah Suci dari 21 September hingga 1 Oktober. Mereka juga sudah mendapat tempahan daripada 20 jemaah bagi umrah 9 November ini.

Rata-rata usia jemaah yang mendapat khidmatnya sehingga kini adalah dari 28 hingga 48 tahun.