Walaupun keadaan jerebu semakin buruk di Singapura, dua sahabat warga emas, Cik Halizah Haji Haron dan Cik Sukartini Amin, kedua-duanya berusia 66 tahun, tetap berusaha meneruskan rutin senaman mingguan mereka, dengan sedikit perubahan.

Kini mereka berbuat demikian di tempat yang tertutup.

“Setiap Sabtu memang kami berdua berjalan pantas di Sun Plaza Park. Tapi walaupun ada jerebu, kami tetap pergi juga,” kata Cik Sukartini.

“Apabila nampak jerebu agak tebal, kami beralih ke Our Tampines Hub kerana ia dalam bangunan dan peredaran udara lebih baik.”

Cik Halizah Haji Haron dan Cik Sukartini Amin setelah senaman berjalan pantas di Our Tampines Hub. Dua sahabat itu biasanya ke Sun Plaza Park namun tukar lokasi akibat jerebu.
Cik Halizah Haji Haron dan Cik Sukartini Amin setelah senaman berjalan pantas di Our Tampines Hub. Dua sahabat itu biasanya ke Sun Plaza Park namun tukar lokasi akibat jerebu. - Foto BM oleh DAHLIA ZULKIFLI

Seperti mereka, beberapa penduduk Singapura yang ditemui Berita Harian (BH) di Our Tampines Hub pada 10 Oktober tetap meneruskan kegiatan harian meskipun keadaan berjerebu. Namun mereka akur bersikap lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Ini termasuk mengehadkan kegiatan luar, menyediakan pelitup muka dan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI).

Bacaan PSI - yang menunjukkan mutu udara - di kawasan pusat, mencapai paras tertinggi tahun ini, iaitu 192 pada 9 Oktober, menandakan mutu udara yang tidak sihat.

Dalam kenyataannya pada 9 Oktober Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), bersama Pasukan Petugas Jerebu (HTF) berkata ada kemungkinan PSI 24 jam di Singapura melebihi 200 dan memasuki tahap ‘sangat tidak sihat’ pada hujung minggu ini.

Jika PSI melebihi 200, pelitup N95 akan diagihkan kepada semua warga Singapura yang layak, sementara tempat teduh jerebu berhawa dingin akan dibuka di kelab-kelab masyarakat serta pusat-pusat jawatankuasa penduduk dan rangkaian penduduk tertentu.

Pada PSI itu, yang dianggap ‘sangat tidak sihat’ prasekolah perlu menghentikan kegiatan dalam dan luar yang lasak. Kegiatan sukan di luar juga boleh digantung atau diubah. Majikan juga telah dinasihati supaya mengehadkan kerja di luar.

Jika PSI 24 jam pada hari selanjutnya diramalkan melebihi 300, iaitu mencapai tahap berbahaya, sekolah-sekolah boleh ditutup.

Cik Halizah berkata beliau akur dan akan mematuhi nasihat pemerintah jika keadaan bertambah buruk.

“Senaman penting, tetapi kalau keluar dalam akhbar atau media yang kita tidak boleh keluar rumah, kita ikutlah,” kongsinya.

Menurutnya, sejak jerebu melanda, mata terasa pedih dan kulit menjadi bak menjadi kering.

Walaupun tidak memakai pelitup ketika ditemui, Cik Halizah berkata beliau sentiasa membawa pelitup muka di dalam beg sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Cik Sukartini berkata mereka sentiasa memantau bacaan PSI menerusi televisyen sebelum menjalankan kegiatan harian.

Keadaan jerebu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang mempunyai anak kecil.

Bagi Cik Wan Amelia Edwarsyah, 29 tahun, ibu kepada tiga anak berusia empat tahun, tiga tahun dan seorang bayi berusia sebulan, keputusan untuk membawa anak-anak keluar rumah kini perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti.

“Anak-anak memang ingin keluar. Sebelum ini, kalau mereka mahu keluar, kami terus sahaja bawa mereka. Tetapi sekarang, kami perlu fikir dua kali,” katanya.

Cik Wan Amelia, seorang guru penjagaan bayi yang baru melahirkan anak bulan lalu, berkata anak-anaknya juga kurang berpeluang menjalankan kegiatan luar di sekolah akibat jerebu.

“Kanak-kanak memang menantikan masa untuk bermain di luar. Mereka juga perlukan udara segar. Tetapi disebabkan jerebu, mereka terpaksa terus berada di rumah atau sekolah,” katanya.

Menurutnya, beliau cuba menggalak anak-anaknya memakai pelitup, namun akur kadang-kala anak-anaknya tidak berbuat demikian kerana berasa kurang selesa.

Selain menjejas kegiatan harian penduduk, jerebu turut memberi kesan kepada peniaga makanan.

Gerai HJ Salim Food Stall di Our Tampines Hub. Pemiliknya, Cik Salama Salim berkata jumlah pelanggan yang mengunjungi gerainya berkurangan akibat jerebu.
Gerai HJ Salim Food Stall di Our Tampines Hub. Pemiliknya, Cik Salama Salim berkata jumlah pelanggan yang mengunjungi gerainya berkurangan akibat jerebu. - Foto BM oleh DAHLIA ZULKIFLI

Pemilik gerai HJ Salim Food Stall di Our Tampines Hub, Cik Salama Salim, yang enggan usianya diterbitkan, berkata jumlah pelanggan yang mengunjungi gerainya kini berkurangan dan beliau percaya ini berlaku kerana ada yang bimbang untuk keluar rumah apabila jerebu tebal.

“Pelanggan tidak begitu ramai. Kami rasa mungkin sebab orang takut nak keluar. Kami pun sudah mula rasa sakit-sakit,” katanya.

Beliau bercadang untuk memakai pelitup ketika bekerja, namun mengakui keadaan panas di gerai menyukarkan langkah tersebut.

“Dalam kedai memang sudah panas, jadi susah nak pakai pelitup. Kalau pelanggan pun pakai pelitup, susah juga untuk dengar apa yang mereka cakap,” tambahnya.

Bagaimanapun, jerebu yang kian buruk tidak pula menyebabkan lebih ramai orang memesan makanan untuk dihantar, kata penghantar makanan GrabFood, Encik Muhammed Kamal, 52 tahun.

Encik Muhammed, yang telah bekerja sebagai penghantar makanan selama lebih enam tahun, berkata jumlah pesanan yang diterimanya masih seperti biasa, tanpa peningkatan atau penurunan ketara.

Buat masa ini, beliau belum lagi perlu memakai pelitup ketika menjalankan tugas, katanya. Namun beliau sentiasa membawa pelitup sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya tidak memakai pelitup buat masa ini, tetapi saya sentiasa menyediakannya jika perlu. Anak saya di rumah pula sedang batuk-batuk,” katanya.