Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalinan global bawa manfaat ketika krisis: Chun Sing

Jul 10, 2021 | 5:30 AM
e5021c2d-bf9f-42f1-a89e-06b7024e4369
-

HUBUNGAN Singapura di peringkat global telah memberi manfaat kepada negara ini dalam masa krisis, membolehkannya mengekalkan rantaian bekalannya di tengah wabak Covid-19 dan menarik pelabur utama walaupun terdapat persaingan global yang sengit.

Demikian kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, semasa berucap pada Majlis Peringatan Satu Perkhidmatan Awam yang diadakan secara dalam talian semalam.

Sementara negara lain mengambil langkah "mempertahankan diri", Singapura berhasil membuka jalan baru dengan perjanjian perdagangan bebas dan ekonomi digitalnya, tambah beliau.

Kerja keras pegawai perkhidmatan awam semasa pandemik Covid-19 ini turut dipuji Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang menulis di Facebook:

"Sejak Covid-19 timbul awal tahun lalu, pegawai perkhidmatan awam kita telah bekerja tanpa lelah dan tanpa henti, baik di barisan hadapan atau di belakang tabir, untuk memastikan semua selamat.

"Dalam krisis ini, pegawai awam telah menghadapi cabaran. Mereka telah menunjukkan ketangkasan, ketahanan, dan keberanian."

Encik Lee turut melahirkan rasa terima kasih ke atas dedikasi para pegawai perkhidmatan awam.

Sementara itu, Encik Chan, yang juga Menteri Pendidikan, turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam agar mengetahui apa yang berlaku di luar perkhidmatan awam.

"Kita harus terus mengikuti perkembangan terkini, melihat peluang sebelum orang lain melakukannya, dan menghubungkan idea, orang, dan modal untuk mencipta nilai," kata Encik Chan.

"Untuk melakukan demikian, kita harus membina ikatan lebih kukuh dengan sektor swasta, dengan rakyat dan dengan dunia," tambahnya.

Encik Chan memberi contoh bagaimana Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Enterprise Singapore (ESG) memanfaatkan jaringan sektor swasta dan antarabangsa untuk memastikan rantaian bekalan negara ini kekal berdaya tahan, lapor The Straits Times.

Tanpanya, Singapura tidak akan mempunyai bekalan penting seperti makanan dan vaksin, ujarnya.

Ia juga tidak dapat menarik syarikat berbilang negara terkemuka seperti Exxon, GlaxoSmithKline dan BioNTech untuk melabur dan mengembangkan kehadiran mereka di Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Chan menekankan perlunya perubahan dalam dunia baru setelah pandemik Covid-19, sambil menambah bahawa peluang akan diberikan kepada mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat dan bergerak lebih pantas.

Beliau turut berjanji bahawa perkhidmatan awam akan memberikan lebih perhatian kepada membina pasukan kepimpinan dengan "kekuatan yang pelbagai dan saling melengkapi" berbanding hanya memilih individu yang memiliki kemahiran terbaik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg