Wakaf ialah sumbangan harta untuk tujuan kebajikan dan keagamaan yang membawa manfaat secara berterusan bagi penerima hasil wakaf.

Bagi masyarakat India Muslim terdahulu, amalan berwakaf menjadi asas penting dalam membangunkan masjid, menyediakan kemudahan keagamaan dan menyokong keperluan masyarakat yang semakin berkembang.

Jamae Chulia Heritage (JCH) ialah contoh pembangunan wakaf yang terkini.

Pembukaannya dirasmikan pada 24 Oktober.

Ia dibangunkan dengan kerjasama WJC Heritage, sebuah anak syarikat Warees Investments, melalui Skim Penghidupan Semula Wakaf (WRS) dengan pihak berkaitan wakaf di bawah pengurusan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Projek ini menggabungkan pembangunan moden dengan pemuliharaan empat rumah kedai warisan sebelum Perang Dunia Kedua.

Terletak di kawasan sibuk Chinatown, di antara Mosque Street dan Pagoda Street, reka bentuk JCH dikekalkan dengan kawasan dan sejarah masyarakat Chulia, khususnya Masjid Jamae Chulia yang berdekatan.

Laluan ‘The Thoroughfare’ menjadi ruang pejalan kaki mesra pengunjung, sekali gus menghubungkan unsur warisan dengan kehidupan bandar masa kini.

Dengan kemudahan 90 bilik penginapan di bawah jenama lyf@Chinatown, ruang niaga dan tempat makan, JCH turut dilengkapkan dengan galeri yang memaparkan sejarah dan sumbangan masyarakat India Muslim agar penduduk Singapura, golongan muda dan pelancong memahami sejarah kewujudan mereka di Chinatown.

JCH ialah cermin warisan wakaf yang ditinggalkan para perintis masyarakat India Muslim.

Selain menjadi penghubung antara sejarah masyarakat India Muslim Singapura dengan masa depannya, aset wakaf dapat terus dimanfaatkan untuk menyokong keperluan keagamaan dan kebajikan masyarakat, selaras dengan hasrat para pewakif terdahulu.

Penolong Naib Presiden Warees Investments, Encik Adam Hudzaifah Alyaman, berkata: “Inilah keunikan wakaf di mana hasil yang diraih daripada aset wakaf dapat dinikmati oleh penerima manfaat secara berterusan, walaupun setelah dua abad berlalu.

“Kami di Warees Investments sentiasa menyedari tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul sebagai pemegang amanah aset wakaf bagi pihak MUIS, untuk memastikan pendapatan aset wakaf kita dapat dioptimumkan agar kami dapat menyerahkan aset lebih baik kepada generasi pemegang amanah seterusnya untuk diuruskan pada masa hadapan.”

Sejarah wakaf masyarakat India Muslim di Singapura bermula dua abad lalu, apabila para pedagang dan pengurup wang Chulia berganding bahu menyediakan tempat ibadah dan membina asas kehidupan bermasyarakat.

Antaranya ialah Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar dan Pusat Warisan India Muslim Nagore Dargah.

Masjid Jamae Chulia, yang diasaskan pada 1826, bermula sebagai sebuah binaan kayu sebelum dibina semula menggunakan batu bata antara 1830 dengan 1835.

Ia kemudian berkembang dan kini menjadi monumen negara Singapura.

Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street pula bermula sebagai sebuah tempat ibadah sederhana pada 1827, sebelum berkembang menjadi bangunan yang kekal sehingga kini.

Seorang ahli Majlis MUIS, Encik Ahmed Basir Amir Sultan, berkata: “Sebagai seorang daripada jurusan seni bina, saya melihat JCH lebih daripada sebuah bangunan.

“Ia merupakan khazanah kenangan dan sejarah, yang disepadukan dengan pembangunan baharu. Ini pengurusan amanah wakaf yang baik, perlu dikekalkan, dan menjadi asas bagi apa yang perlu berkembang.”

Turut berasa betapa pentingnya pembangunan wakaf ialah Pengerusi Warees Investments, Encik Abdul Razak Maricar.

Beliau berkata: “Kami berharap Jamae Chulia Heritage akan memberi inspirasi kepada generasi hari ini untuk meneruskan legasi ini, demi manfaat generasi akan datang.”

Hasil daripada Wakaf Jamae ditetapkan secara khusus untuk diagih setiap tahun bagi penyelenggaraan tiga institusi India Muslim yang telah bertapak lama itu – Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar dan Pusat Warisan India Muslim Nagore Dargah.

Pembangunan JCH bertujuan mengukuhkan kemampanan jangka panjang Wakaf Jamae dan sumbangannya kepada benefisiari.

JCH bukan sekadar memelihara sejarah, bahkan memastikan legasi para pewakif terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat sepanjang tahun-tahun mendatang.

Hal ini turut ditekankan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, semasa berucap di majlis perasmian JCH.

Beliau berkata: “Jamae Chulia Heritage menunjukkan bagaimana wakaf boleh diperbaharui mengikut keperluan semasa, tanpa melupakan tujuan asalnya.

“Bangunan boleh berubah, tetapi tujuan wakaf untuk membawa kebaikan kepada masyarakat mesti terus kekal.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti