PENGUNJUNG kini boleh mendapati sebuah jambatan baru di Kebun Bunga Singapura yang menghubungkan kawasan Learning Forest dan kawasan tambahan Gallop, yang sebelum ini terpisah dengan Tyersall Avenue.
Dinamakan Jalan Penghubung Kanopi HPL, pembinaan jambatan itu disokong oleh Hotel Properties Limited (HPL) menerusi badan amal Lembaga Taman Negara (NParks), Garden City Fund, dengan nilai $1.25 juta.
Jambatan itu dibina selebar 2.4 meter tanpa penyekat dan sepanjang 200 meter.
Ini sesuai untuk keluarga dengan kanak-kanak kecil dan juga mesra kerusi roda.
Acara pembukaan Jalan Penghubung Kanopi HPL semalam dihadiri tetamu terhormat, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang telah melaksanakan sesi potong reben bersama Pengarah Pengurusan HPL, Encik Ong Beng Seng, dan Pengerusi Garden City Fund, Profesor Leo Tan.
Pembukaan Jalan Penghubung Kanopi HPL menandakan kesiapan kawasan Tyersall-Gallop Gardens yang kini sebesar 18 hektar dan terhubung sepenuhnya.
Justeru Kebun Bunga Singapura kini seluas 82 hektar.
Selain menambah saiz kebesaran habitat, koleksi tumbuhan meningkatkan pengalaman alam semula jadi untuk para pengunjung dan berfungsi sebagai penampan untuk Tapak Warisan Dunia Unesco daripada pembangunan bandar.
Berucap di pembukaan acara itu, Encik Shanmugam berkata: "Semasa Covid, ramai warga Singapura termasuk saya telah menemui dan lebih menghargai lebih ruang hijau di Singapura.
"Reka bentuk jambatan ini menggalak masa yang lebih panjang untuk menghargai alam semula jadi di sekitarnya dan saya pasti ramai yang akan menikmatinya."
Kawasan Tyersall Gallop Core telah mula dibina secara bertahap sejak 2017.
Menurut Encik Ong, HPL gembira menyokong projek ini yang akan meningkatkan pengalaman pengunjung dengan membolehkan penghubung yang selamat bagi semua untuk meneroka tarikan Tapak Warisan Dunia Unesco yang terdapat di Singapura.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen HPL untuk bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi menjadikan Singapura lebih sesuai didiami," tambah Encik Ong.
Mengulas mengenai Jalan Penghubung Kanopi HPL, Profesor Leo berkata: "Jalan Penghubung Kanopi HPL akan membantu memudahkan lebih ramai rakyat Singapura menghargai alam semula jadi dan mengetahui lebih lanjut tentang warisan semula jadi kita.
"Melalui ini, kami berharap lebih ramai akan mendapat inspirasi untuk menyumbang kepada Kebun Bunga Singapura dan program-programnya."
Pengunjung boleh melihat pelbagai tumbuh-tumbuhan secara dekat di jambatan itu.
Antaranya buluh terbesar dunia, buluh gergasi. Ia boleh tumbuh selebar 30 sentimeter dan akan berbunga sekali setiap 40 tahun.
Pengunjung juga boleh melihat tumbuhan periuk kera Raffles atau Raffles' pitcher plant yang boleh tumbuh sehingga 20 sentimeter.
"Reka bentuk jambatan ini menggalak masa yang lebih panjang untuk menghargai alam semula jadi di sekitarnya dan saya pasti ramai yang akan menikmatinya." - Encik K. Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg