Topic followed successfully
Go to BHkuJambatan pejalan kaki cetakan 3D pertama di Jurong West jelang 2028
Jambatan pejalan kaki cetakan 3D pertama di Jurong West jelang 2028
Rentasi Sungai Jurong, hubungkan penduduk di Jurong West dengan bandar baharu Tengah
Jambatan pejalan kaki cetakan 3D pertama di Jurong West jelang 2028
Pada 2028, sebatang jambatan untuk pejalan kaki pertama yang dibina menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) di Singapura, akan merentasi Sungai Jurong, menghubungkan penduduk di Jurong West dengan bandar baharu Tengah yang telah dirancang dengan lebih banyak pembangunan perumahan.
Penggunaan teknologi itu sebahagian usaha Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bagi meningkatkan daya penghasilan binaan dalam keadaan kekangan tenaga kerja kini.
Teknologi cetakan konkrit 3D seperti itu menjimatkan sehingga 50 peratus tenaga kerja melalui penggunaan lengan robotik, serta mengurangkan masa menghasilkan segmen jambatan daripada sehari kepada empat jam.
Jambatan itu, yang akan terletak berhampiran Blok 410, Jurong West Street 42, berukuran 10 meter panjang dan lima meter lebar.
Kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi projek itu bermula pada Januari 2023, dengan kos sekitar $1.4 juta bagi pembangunan bahan yang sesuai bagi cetakan 3D, reka bentuk kejuruteraan jambatan itu, serta penghasilan dan pengujian model berskala, kata Timbalan Pengarah Reka Bentuk Jalan dan Teknologi Prasarana di LTA, Encik Allan Yeo.
Pada 2 April, LTA menganjurkan lawatan media ke makmal Pusat Teknologi DNV (Barat), berhampiran kawasan Joo Koon, tempat ujian beban struktur dijalankan ke atas model lebih kecil jambatan itu yang berukuran 10 meter panjang dan 2.5 meter lebar, menggunakan 18 tangki yang setiap satu diisi 1 tan metrik air, bagi menilai tingkah laku struktur tersebut.
Beban ke atas jambatan baru itu bersamaan dengan beban ke atas jambatan pejalan kaki biasa, kata LTA.
Ujian ke atas model lebih kecil itu selesai menjelang 31 Mac dan data yang terkumpul akan dinilai bagi mengesahkan pengiraan serta daya tahan struktur tersebut.
Berikutan itu, bahagian model tersebut mungkin digunakan semula oleh pihak berkuasa.
Jika keputusan memuaskan, LTA akan meneruskan pembinaan jambatan bersaiz penuh itu.
Pembinaan jambatan itu akan dilakukan selapis demi selapis menggunakan lengan robotik yang menyalurkan campuran konkrit, pasir dan air dengan kekuatan tinggi melalui muncung pencetak 3D.
Aliran campuran itu perlu seragam bagi mengelakkan retakan atau kecacatan, dengan kawalan kelajuan cetakan, pengepaman melalui muncung pencetak, dan suhu semasa membancuh bahan tersebut.
Bahan konkritnya juga mesti cukup cair semasa proses mencetak, tidak mengeras terlalu cepat, dan mengekalkan bentuk selepas itu.
Jambatan akhir itu akan terdiri daripada 10 segmen konkrit yang diikat menggunakan kabel keluli.
Projek tersebut melibatkan penyelidikan dan pengujian oleh LTA, dengan kerjasama Pusat Singapura bagi Cetakan 3D di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), firma perunding kejuruteraan, Witteveen+Bos, dan firma pembinaan cetakan konkrit 3D, CES_Innovfab.
Jambatan itu dijangka siap merentasi Sungai Jurong pada 2028, seiring dengan terbinanya jalan penghubung dan laluan pejalan kaki ke bandar Tengah, kata Encik Yeo.
Menurutnya, lokasi itu dipilih kerana sesuai dari segi struktur dan mudah dibina.
Jambatan baru sepanjang 10 meter itu lebih pendek berbanding jabanah pejalan kaki biasa, iaitu 20 hingga 25 meter panjang.
Teknologi cetakan 3D itu masih baru dan pihak berkuasa akan terus menilai potensinya, tambah Encik Yeo.
Tiada lokasi lain dikenal pasti bagi jambatan pejalan kaki seperti itu, dan kos anggaran jambatan baru itu belum dapat ditentukan kerana pihak berkuasa belum menawarkan tender bagi kerja pembinaan itu.
Di Singapura, cetakan 3D telah digunakan bagi membina dinding luar sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Woodlands serta menghasilkan alat bantuan seperti tangan cetakan 3D untuk golongan kurang upaya.

