SEJAJAR dengan strategi mahu kekal relevan dan progresif dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat, Jamiyah Singapura kini memperkenal daya usaha terbaru, projek Jampacked@Bukit Batok.
Mengulas tentang projek Jampacked@Bukit Batok ini, Setiausaha Agung dan juga Ketua Pegawai Operasi Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin, berkata projek terbaru mereka ini mampu bantu memudahkan lagi penerima bantuan mendapatkan barangan asas dengan lebih berkesan lagi.
"Kami teruja mahu meluaskan perancangan kami dalam membantu masyarakat yang memerlukan dengan pembukaan Jampacked@Bukit Batok, sebuah Projek Masyarakat Bersama oleh Jamiyah Singapura dan Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Bukit Batok.
"Jampacked@Bukit Batok ialah sebuah bank makanan mini yang memberi tumpuan kepada penyediaan barang asas yang diperlukan oleh penerima bantuan kami.
"Jamiyah berharap dengan adanya Jampacked@Bukit Batok, kami dapat membawa khidmat kami ke ambang pintu mereka yang memerlukan di kawasan Bukit Batok," ujar beliau.
Di Jampacked@Bukit Batok, melebihi 450 keluarga diberi kebebasan memilih habuan berdasarkan keperluan bulanan mereka dengan menggunakan sistem kad.
Jamiyah juga melancarkan mesin layan diri, atau 'vending machine', yang mengagih makanan hangat di Bukit Batok, dengan penerima boleh menikmati makanan sihat setiap hari.
Menu berkhasiat seperti nasi, ayam atau ikan, dan sayur-sayuran dihidangkan dua kali setiap hari, pada waktu tengah hari dan malam.
Jamiyah, yang meraikan ulang tahun ke-90 tahun ini mengalu-alukan derma dalam bentuk makanan kering, barang keperluan harian, sumbangan wang tunai, serta tenaga sukarelawan yang ingin membantu.
Selain itu, Jabatan Pendekatan dan Pembangunan Masyarakat Jamiyah (CODD) akan melancarkan Program Khas Intervensi Keluarga iaitu Projek Maju Jaya, yang terdiri daripada program keluarga seperti Hakikat Cinta, Anakku Amanahku, My Child My Hero dan SURI.
Program-program ini berdasarkan teori bagi membangunkan keupayaan pelbagai ahli keluarga untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan sebagai sebuah unit keluarga yang mantap.
Program ini akan dilancarkan bulan depan.
Para penderma boleh menetapkan saluran sumbangan setiap hari hingga akhir Ramadan untuk mengejar amalan Lailatul Qadar.
"Dengan ini, umat Islam boleh menderma dan menyumbang kepada usaha dakwah dan kemasyarakatan Jamiyah secara menyeluruh seperti zakat, projek-projek amal serta sumbangan kepada rumah-rumah kebajikan.
Semoga dengan ihsan penderma pada akhir-akhir Ramadan ini, ganjaran pahala malam Lailatul Qadar dapat dilengkapi dengan sebaik-baiknya," terang Encik Jaffar lagi.
AMAL JARIAH SEMPENA LAILATULQADAR
Jamiyah ingin mengajak umat Islam Singapura beramal jariah sempena kedatangan malam Lailatul Qadar dengan:
KHIDMAT DAN KEGIATAN RAMADAN
Maklumat lanjut tentang khidmat dan kegiatan Ramadan yang dikendalikan Jamiyah Singapura boleh didapatkan melalui wadah:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg