Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamu selera jauh malam di restoran 24 jam

Aug 26, 2018 | 5:30 AM
MAKIN MALAM MAKIN ENAK MENJAMU SELERA: Pelanggan di Restoran Adams di Serangoon Road. - Foto BM oleh INIAZ RAHIM
MAKIN MALAM MAKIN ENAK MENJAMU SELERA: Pelanggan di Restoran Adams di Serangoon Road. - Foto BM oleh INIAZ RAHIM -

SELEPAS bermain futsal sehingga 12 tengah malam, mereka beralih untuk makan pada waktu dinihari pula.

"Biasanya pada 12 tengah malam kami baru habis main futsal, jadi lepas itu kami sambung makan pulalah. Mana lagi kami akan pergi kalau bukan restoran mamak," kata Encik Mohd Firdaus Amin, 23 tahun, kepada rakan-rakannya.

Mereka ke sebuah restoran di Jalan Kayu untuk makan roti john, sate, perata, ayam 'spring' dan air Milo dinosaur sebagai menjamu selera selepas tengah malam.

Restoran dan kedai makan yang berselerak yang dibuka 24 jam membuat ramai orang kini menghabiskan waktu santai mereka untuk makan dan minum sehingga larut malam.

Suasana di restoran dan kedai makan hidup sepanjang malam dan ramai pengunjung berasa bertuah kerana boleh makan pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam, menjadikan tempat makan begini bagai syurga makanan.

"Saya memang tidak boleh tidur malam, jadi saya habiskan masa dengan makan di kedai makan 24 jam.

"Sebab lain adalah untuk berjumpa kawan atau menonton bola sepak sehingga lewat malam,'' ujar seorang pengunjung, Encik Mustazar Raof, di Changi Village.

Bagi pengunjung, suasana restoran yang lebih bertenaga menjadi faktor mereka memilih keluar malam atau bersantai dengan rakan-rakan, malah dengan keluarga terutama pada hujung minggu.

Namun, bukan hanya warga usia pertengahan dan emas sahaja mengunjunginya, malah ramai remaja dilihat menjadikan restoran 24 jam tempat berkumpul dan bersembang.

Kedai makan 24 jam kini mudah dicari kerana kebanyakannya bukan sahaja merupakan restoran mamak atau yang dimiliki peniaga India, malah banyak restoran makanan segera dan kopitiam kini turut menawarkan sajian 24 jam.

Eksekutif Perhubungan Awam, Kumpulan Restoran Al-Azhar, Encik Shafudin Kasim, berkata restorannya, yang mempunyai cawangan di Bukit Timah Road dan Tampines, masih lagi 'bernyawa' walaupun malam telah lama melabuhkan tirainya.

"Restoran kami bukan sekadar menyediakan kemudahan bagi pengunjung mengisi perut yang lapar, malah lebih daripada itu fungsi kami adalah menjadi tempat bertemu atau mengadakan perbincangan dengan kenalan," katanya.

Seorang jurucakap Restoran Tohirah di Jalan Kayu pula berkata peralihan dari tahun 1970-an ke era kini telah membuka peluang kepada kedai-kedai 24 jam beroperasi sepenuhnya.

"Sebelum ini, restoran 24 jam menyediakan tempat makan kepada pekerja syif, tetapi kini ia berubah apabila ramai orang mengubah tabiat makan mereka.

"Restoran 24 jam juga menyesuaikan diri dengan menyediakan pilihan kedai makan sepanjang masa.

"Tidak dapat kami nafikan kehadiran restoran 24 jam adalah salah satu faktor yang menggalakkan pembentukan budaya masyarakat baru dan tempat makan seperti ini telah mengalami evolusinya yang tersendiri," kata jurucakap itu.

Seorang pelayan dari Supper Club 89.7 di Changi Village, berkata waktu makan pelanggannya tidak terhad pada waktu tertentu kerana mereka datang dari tengah malam hingga 5 pagi.

"Gaya hidup masyarakat baru ini turut memberi peluang kepada restoran-restoran dan merancakkan industri F&B (makanan dan minuman),'' kata pengusaha restoran, Encik Munir Mahat.

Beliau menambah bahawa perkembangan tersebut dan semangat keusahawanan yang ditunjukkan peniaga bidang ini boleh menjadi contoh dan dimanfaatkan orang ramai.

Satu lagi manfaatnya, restoran 24 jam juga dapat mengumpul masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Di tempat begini, anggota masyarakat tanpa mengira kaum duduk bersama bagi menikmati pelbagai hidangan yang disediakan tanpa sebarang batasan," ujar Encik Kok Chin Hu, seorang usahawan.

Katanya lagi, apa yang menarik ialah restoran begini tidak hanya menyajikan nasi lemak atau roti perata dengan teh tarik sahaja, malah pelbagai hidangan lain yang memenuhi selera pengunjung Melayu, Cina, India dan kaum lain. Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke Singapura kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam dan mencuba gaya hidup warga Singapura.

"Saya telah mengunjungi banyak negara dan puas mengelilingi dunia, tetapi tiada negara yang restoran atau gerai makannya dibuka 24 jam seperti di Singapura,'' ujar Encik Sunarto Dahuri dari Indonesia.

KEDAI-KEDAI MAKAN 24 JAM DI SERATA SINGAPURA

BEDOK

Simpang Bedok antara kawasan yang menyediakan pelbagai pilihan tempat makan dan restoran 24 jam yang menyajikan beraneka makanan tradisional setempat dan Barat.

SERANGOON ROAD

Jika Mustafa Shopping Centre di Little India dibuka 24 jam, pelbagai restoran di kawasan ini juga menyediakan tempat makan yang kelihatan seperti tidak pernah tutup.

BUKIT TIMAH

Kawasan ini mempunyai banyak rumah makan yang dibuka hingga ke subuh seperti restoran Al-Azhar yang menyediakan menu pelbagai jenis makanan.

JALAN KAYU

Kawasan makan malam yang tidak perlu diperkenalkan lagi, dengan tempat meletak kereta disediakan untuk pengunjung.

CHANGI VILLAGE

Deretan restoran di kawasan ini seperti Supper Club 89.7 menjadi 'pot' anak-anak muda.

KAWASAN GEYLANG

Jika anda tidak mahu makan makanan biasa, menikmati durian di deretan gerai gerai durian yang menawarkan pelbagai jenis durian selepas tengah malam, menjadi pilihan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg