Seorang janda berusia 68 tahungagal dalam saman untuk mengeluarkan nama anak perempuannya sebagai pemilik bersama flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dibeli bersama suaminya pada tahun 1996.
Pada 2017, Cik Che’som Abdullah dan suaminya Encik Mohamed Yusope Sidik menandatangani dokumen pemindahan hak milik untuk menambah Cik Qurratu Ain Mohamed Yusope sebagai pemilik bersama flat mereka di Bedok.
Ini dilakukan supaya Cik Qurratu Ain dapat mengambil pinjaman perumahan daripada HDB dan menanggung pembayaran semula pinjaman tersebut.
Pada 2018, suami Cik Che’som meninggal dunia.
Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada Mei 2022, Cik Che’som mendakwa bahawa beliau tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatanganinya.
Walaupun mengakui pegawai HDB telah menjelaskan pemindahan hak milik kepadanya dalam bahasa Melayu dalam dua mesyuarat, beliau mendakwa tidak memberi perhatian kerana suaminya sedang mengalami serangan semput.
Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan pada 17 Januari, Hakim Mahkamah Tinggi, Cik Valerie Thean berkata bahawa Cik Che’som gagal memberikan alasan yang meyakinkan dan berpuas hati bahawa Cik Che’som cukup mampu untuk memahami penjelasan yang diberikan kepadanya.
Hakim Thean juga berkata bahawa adalah kebetulan bahawa suami Cik Che’som mengalami serangan semput semasa kedua-dua mesyuarat tersebut ketika pegawai HDB memberikan penerangan.
Beliau menambah bahawa Cik Che’som “memilih” terhadap transaksi tersebut kerana beliau hanya memahami bahawa pinjaman perumahan yang dibiayai semula perlu ditanggung oleh Cik Qurratu Ain, tetapi tidak memahami butiran lain yang dijelaskan oleh pegawai HDB.
Kesimpulan hakim itu disokong oleh keterangan seorang rakan keluarga yang memberi keterangan bagi pihak Cik Qurratu Ain, yang mengingatkan bahawa pada 2018, semasa suami Cik Che’som masih hidup, Cik Che’som mengatakan beliau merasa lega kerana Cik Qurratu Ain telah mengambil alih pinjaman tersebut dan hartanah telah dipindahkan kepada Cik Qurratu Ain.
Flat itu dibeli oleh Cik Che’som, seorang suri rumah, dan suaminya, Encik Mohamed Yusope, seorang tukang sapu jalan raya, dengan harga $218,000. Encik Mohamed Yusope membayar sebanyak $51,000, manakala selebihnya dibiayai melalui pinjaman HDB di bawah nama bersama mereka.
Pasangan itu mempunyai empat anak. Cik Qurratu Ain, anak perempuan mereka yang sulung, merupakan seorang ejen hartanah dengan pengalaman sekitar 23 tahun.
Pada 2016, apabila keadaan kesihatan Mohamed Yusope merosot dan tidak lagi mampu bekerja sepenuh masa, pasangan itu meminta bantuan Cik Qurratru Ain untuk mengurangkan pembayaran pinjaman.
Pada masa itu, Cik Ain telah tinggal di flat tersebut selepas perceraian keduanya.
Cik Qurratu Ain mendapat tahu daripada HDB bahawa beliau boleh mengambil pinjaman tidak lebih daripada $42,900, yang perlu dibayar balik selama 22 tahun dengan ansuran bulanan sebanyak $214.
Pada 18 Februari 2017, satu mesyuarat diadakan di cawangan HDB Bedok.
Di sana, Cik Che’som, Encik Mohamed Yusope dan Cik Qurrartu Ain menandatangani permohonan untuk HDB meluluskan pemindahan hak milik flat daripada pasangan itu sebagai pemilik kepada ketiga-tiga mereka sebagai pemilik bersama.
Pada mesyuarat kedua pada 3 Mei tahun tersebut, ketiga-tiga mereka menandatangani satu set dokumen lain untuk memuktamadkan pemindahan tersebut.
Pada 2018, beberapa peristiwa menyebabkan perselisihan keluarga mengenai hak milik flat tersebut.
Pada awal tahun itu, anak sulung lelaki pasangan tersebut, Encik Is Haans, berpindah semula ke flat itu setelah perkahwinannya berakhir.
Cik Qurratu Ain berkahwin semula pada bulan Mei, dan suaminya, Encik M. D. Naser Salleh, juga berpindah ke flat tersebut.
Pada 18 September, Encik Mohamed Yusope meninggal dunia.
Kedua-dua wanita itu mempunyai cerita yang berbeza mengenai fakta-fakta yang berkaitan dengan perselisihan tersebut.
Cik Che’som mendakwa bahawa beliau dan suaminya hanya mahu mengurangkan pembayaran pinjaman dan tidak memahami implikasi dan butiran pengurangan tersebut.
Beliau mendakwa bahawa tiada niat untuk memasukkan Cik Qurratu Ain sebagai pemilik flat bagi mencapai tujuan tersebut.
Beliau juga berkata mereka hanya mengetahui bahawa nama anak perempuan mereka itu telah digolongkan sebagai pemilik bersama selepas Cik Qurratu Ain memberitahu bahawa beliau akan berkahwin dengan Encik Naser.
Mereka bimbang hartanah itu mungkin diwarisi oleh Encik Naser, dan bukannya oleh anak-anak mereka yang lain.
Cik Che’som berkata bahawa pasangan itu ingin menjual flat tersebut untuk membeli flat yang lebih kecil dan mengagihkan hasil jualan secara saksama kepada anak-anak mereka.
Namun, mereka diberitahu oleh HDB bahawa mereka tidak boleh menjual flat tersebut tanpa persetujuan Cik Qurratu Ain dan tidak boleh melakukan pemindahan hak milik sehingga tempoh pemilikan minimum lima tahun berlalu.
Cik Che’som berkata bahawa beliau memberitahu Cik Qurratu Ain bahawa beliau mahu menambah Is Haans sebagai pemilik bersama, tetapi anak perempuannya menolak cadangan itu dan bertengkar dengannya.
Selepas pergaduhan itu, Cik Qurratu Ain dan suaminya berpindah keluar dari flat tersebut.
Sebaliknya, Cik Qurratu Ain berpendapat bahawa ayahnya telah merancang agar beliau mengambil alih hartanah itu dan Cik Che’som bersetuju dengan rancangan tersebut.
Cik Qurratu Ain mendakwa bahawa pada November 2018, selepas Encik Mohamed Yusope meninggal dunia, ibunya berulang kali cuba memujuknya untuk bersetuju menjual flat tersebut, tetapi Cik Qurratu Ain menolaknya.
Cik Qurratu Ain mendakwa ini kerana Cik Che’som mahu berkahwin semula dengan seorang lelaki yang telah memiliki sebuah flat HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg