SIASATAN sedang dijalankan selepas seketul janin ditemui di Taman Pasir Ris malam Sabtu.
Polis berkata semalam, ia menerima satu panggilan pada malam Krismas pada 10.13 malam bahawa seketul janin ditemui di pantai dekat Pit Barbeku 21.
Akhbar bahasa Cina, Lianhe Zaobao, melaporkan seorang budak berusia 10 tahun telah menemui janin itu di bawah bangku.
Budak lelaki itu, yang sedang berkhemah dengan keluarganya, meberitahu ibunya berkenaan janin itu yang kemudian menghubungi polis.
Seorang saksi memberitahu Lianhe Zaobao, sekitar 20 pegawai polis dan tujuh atau lapan kereta polis tiba di tempat kejadian dan mengepung tempat itu.
Mereka menyoal-siasat saksi dan melakukan operasi pencarian di pantai itu hingga sekitar 4 pagi kelmarin, lapor akhbar harian itu.
Adalah satu kesalahan di sini menanam dan membuang mayat seorang bayi untuk merahsiakan secara sengaja, kelahiran anak itu, tidak kira ia mati ketika dalam kandungan atau sesudah dilahirkan.
Mereka yang didapati bersalah berbuat demikian boleh dijel sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya.
Polis memohon agar sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut menghubunginya menerusi talian 1800-255-0000 atau menghantarnya di laman www.police.gov.sg/iwitness
Semua maklumat akan dirahsiakan.
Pada Januari 2020, dua pekerja pembersihan yang sedang membersihkan bungkusan sampah dalam sebuah saluran sampah di sebuah blok di Bedok North menemui seorang bayi yang baru dilahirkan dalam sebuah bungkusan dipenuhi darah.
Bayi lelaki itu didapati masih hidup dan paramedik kemudian mengesahkan dia dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg