Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jasa pakar jagaan bayi pramatang diiktiraf

Aug 13, 2022 | 5:30 AM
CUKUP MEMBANGGAKAN: Profesor Madya Zubair (kiri) bersama Encik Kwek Wee Liang, isterinya Cik Wong Mei Ling dan bayi pramatang Kwek Yu Xuan serta salah seorang kakitangan jagaan kesihatan NUHS sejurus sebelum bayi tersebut dibenarkan pulang tahun lalu. - Foto NUHS
CUKUP MEMBANGGAKAN: Profesor Madya Zubair (kiri) bersama Encik Kwek Wee Liang, isterinya Cik Wong Mei Ling dan bayi pramatang Kwek Yu Xuan serta salah seorang kakitangan jagaan kesihatan NUHS sejurus sebelum bayi tersebut dibenarkan pulang tahun lalu. - Foto NUHS -

BELIAU memimpin pasukan neonatal yang menjaga bayi pramatang paling ringan yang pernah dilahirkan di dunia, Kwek Yu Xuan.

Yu Xuan, hanya seberat 212 gram semasa lahirnya pada 9 Jun dua tahun lalu di NUH di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Dia begitu kecil dan "mempunyai peluang hidup yang terhad", pada ketika itu.

Setelah dilahirkan, Yu Xuan dirawat di unit rawatan intensif neonatal (NICU) selama 13 bulan.

Dia dibenarkan pulang pada 9 Julai tahun lalu - sekitar 13 bulan selepas dilahirkan.

Si kecil kini berusia dua tahun dan berada dalam keadaan sihat.

Inilah antara cabaran yang dihadapi Profesor Madya Zubair Amin, Ketua dan Konsultan Kanan di Jabatan Neonatologi, Khoo Teck Puat - Institut Perubatan Kanak-Kanak Universiti Nasional di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan pasukannya yang menerima Anugerah NUHS-Mochtar Riady Pinnacle - Anugerah Klinisian Master dan Anugerah Berpasukan.

Semasa dihubungi, Profesor Madya Zubair berkata:

"Apabila bayi sedemikian dilahirkan, kami mempunyai sepasukan pakar yang mahir dalam bidang masing-masing untuk sama-sama membantu - memastikan kelahiran yang selamat.

"Pucuk pangkalnya, ia merupakan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa bayi untuk memastikan kesejahteraan si kecil terus terjamin semasa di hospital ini, rumah dan semasa membuat rawatan susulan."

Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di The Capella itu menyambut pencapaian para profesional dan pentadbir jagaan kesihatan NUHS yang cemerlang.

Ia menghargai kakitangan di atas perbezaan yang mereka buat, dengan tujuan membina masyarakat sihat, membentuk cara perubatan dan mengubah jagaan di Singapura menerusi jagaan, kajian, dan pendidikan untuk pesakit.

Dalam ucapannya Ketua Eksekutif NUHS, Profesor Yeoh Khay Guan, berkata NUHS kini merupakan sebuah sistem kesihatan akademik dengan kakitangan dan pasukan yang menyumbang dalam tiga misi bersilang - jagaan klinikal, pendidikan dan kajian.

"Setiap hari kami merawat ribuan pesakit dalam tiga hospital akut, tiga pusat khusus nasional, tujuh poliklinik dan kemudahan perubatan yang luas," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg