Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jasa pengasas Persatuan Kebajikan Wanita Melayu, Che Zahara, dirai 'Google Doodle'

Oct 15, 2021 | 3:01 PM
Foto GOOGLE
Foto GOOGLE -

SYARIKAT teknologi berbilang negara Google menyanjung bakti aktivis Melayu yang mengasaskan pertubuhan kebajikan wanita Muslim pertama di Singapura, Che Zahara Noor Mohamed, dalam inisiatif lakaran 'Google Doodle' pada Jumaat (15 Oktober).

'Google Doodle' merujuk pada pengubahsuaian khas sementara pada logo laman utama Google yang bertujuan memperingati cuti umum, acara penting, pencapaian individu dan tokoh bersejarah daripada negara tertentu.

Che Zahara merupakan pengasas Persatuan Kebajikan Wanita Melayu (MWWA) pada 1947. Beliau juga nenek kepada mantan wartawan penyiar yang kini usahawan CZ Bakery serta pengasas bersama syarikat AMGD Global, Cik Rita Zahara.

'Doodle' ini juga diterbitkan pada Jumaat sejajar dengan tarikh 15 Oktober, bagi memperingati hari di mana satu rapat umum bersejarah pada 15 Oktober 1950, yang dianjurkan Che Zahara sebagai respons pada Rang Undang-Undang Perkahwinan, diadakan.

Menjelaskan demikian dalam satu kenyataan pada Jumaat, Google membuka lipatan sejarah mengenai Che Zahara yang dilahirkan pada 1907.

Che Zahara berumah tangga dengan seorang usahawan yang juga penyokong kuat kebajikan sosial.

Terdorong dengan kesedarannya sendiri dan galakan daripada suaminya, beliau mula menggerakkan kerja amal buat wanita miskin dan gelandangan serta anak yatim.

Che Zahara meneruskan kerja kebajikannya sewaktu Perang Dunia Kedua yang menyebabkan ramai wanita dan kanak-kanak hidup tanpa tempat berteduh.

Beliau adalah seseorang yang akur pada nilai pendidikan lantas membuka rumahnya sendiri bagi menyediakan wanita dan kanak-kanak dengan pendidikan, tempat berteduh dan jagaan asas.

Pada 1947, beliau memohon sumbangan $500,000 dari pemerintah yang membawa pada penubuhan MWWA di rumahnya.

Pada Ogos 1950, Rang Undang-Undang Perkahwinan diperkenalkan bagi menghadkan perkahwinan buat individu yang berusia 16 tahun ke atas. Bagaimanapun, pindaan dibuat pada rang tersebut bagi mengecualikan individu Islam.

Disebebkan perkara itu, Che Zahara digerakkan untuk menganjurkan rapat umum bersejarah pada 15 Oktober 1950.

Sedang perhimpunan itu gagal membasmi pindaan pada rang undang-undang itu, ia adalah langkah penting ke arah mendapatkan suara wanita dalam melahirkan keprihatinan mereka secara terbuka.

Selanjutnya pada 1955, Che Zahara mewakili Singapura pada Kongres Ibu Sedunia di Switzerland serta bekerjasama rapat dengan Majlis Wanita Singapura bagi membantu membangunkan Piagam Wanita Singapura.

Piagam ini adalah mercu tanda perundangan yang meneruskan usaha melindungi hak wanita dan anak gadis Singapura hingga ke hari ini.

Menurut Google, kerja sepanjang hayat Che Zahara dibangunkan dengan kepercayaan bahawa pendidikan boleh memperkasa manusia dan mengeluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan.

Che Zahara mendidik ratusan wanita dan anak yatim dari pelbagai latar belakang.

"Che Zahara adalah pengasas dalam memperjuangkan hak wanita di Singapura. Beliau dan wanita lain pada 1952 membentuk Majlis Wanita Singapura, mencabar undang-undang dan dasar berdiskriminasi serta norma dan daya fikiran yang terbenam, yang menjadikan wanita dalam kedudukan serta peranan bawahan dan tidak berapa penting dalam masyarakat," kata Pengerusi Balai Kemasyhuran Wanita Singapura, Cik Margaret Thomas.

Balai itu adalah inisiatif Majlis Pertubuhan Wanita Singapura.

"Peranan Che Zahara itu besar kerana pada ketika itu, usaha memperjuang perubahan begitu gigih dipacu sehingga Piagam Wanita terlaksana pada 1961, tidak mengizinkan poligami buat individu bukan Muslim dan memberi wanita dan lelaki status setara dalam perkahwinan.

"Che Zahara adalah antara wanita pertama yang kami sertakan dalam Balai Kemasyhuran Singapura. Mereka wanita bervisi, berani dan bertekad bulat dengan apa yang mereka lakukan membuka laluan bagi generasi wanita selepas mereka," jelas Cik Thomas lagi.

Pengarah Negara bagi Google Singapore, Encik Ben King, pula menambah: "Dengan Che Zahara menganjurkan rapat umum bersejarah pada hari ini (15 Oktober) 71 tahun lalu, Google mengiktiraf impak penting yang beliau buat di Singapura demi memajukan hak wanita dan kanak-kanak.

"Google komited pada perbezaan, kesaksamaan dan inklusi serta bangga menyanjung Che Zahara sebagai pejuang pengasas hak wanita dan kanak-kanak menerusi inisiatif 'Google Doodle'."

Bagi menatap 'Doodle' ini, lungsuri laman google.com atau google.com/doodles.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg