Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa Hak Istimewa selesai siasat aduan terhadap Raeesah

Jan 5, 2022 | 5:30 AM
3b8278eb-6d7c-4c56-abcc-1e5db7893046
-

JAWATANKUASA Hak Istimewa Parlimen (COP) telah menyiasat sepenuhnya aduan dibuat terhadap mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Cik Raeesah Khan, kerana berbohong di Parlimen, dan akan membentangkan dapatan dan saranan dalam masa terdekat, menurut Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin.

Beliau menambah bahawa jawatankuasa itu memandang serius aduan rasmi yang dibuat, dan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti aduan sedemikian bagi menegakkan integriti dan hak istimewa Parlimen.

Beliau membuat kenyataan itu dalam catatan blognya kelmarin yang mengimbas perkembangan Parlimen tahun lalu apabila ia meluluskan 39 Rang Undang-undang dan juga memperkenalkan penstriman langsung persidangan buat kali pertama.

COP telah mengadakan sidang bulan lalu bagi meneliti tindak laku Cik Raeesah selepas beliau mengaku berbohong di Parlimen pada 3 Ogos lalu.

Cik Raeesah berkata beliau menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, dan 'mangsa' dikatakan menangis akibat soalan tidak sensitif polis.

Tetapi, pada 1 Nov tahun lalu, Cik Raeesah mengaku bahawa beliau mendengar anekdot itu dalam kumpulan sokongan. Beliau meletak jawatan sebagai AP pada 30 November lalu.

Encik Tan mengingatkan AP bahawa walaupun hak istimewa Parlimen membolehkan mereka bercakap secara bebas dan terus terang di Parlimen tanpa rasa takut dengan kesan undang-undang, beliau menegaskan 'tanggungjawab juga terletak pada setiap AP untuk membuat pemeriksaan dan tanggungjawab walaupun mempunyai hak istimewa itu.'

"Kenyataan yang dibuat mestilah berdasarkan fakta atau maklumat yang kukuh.

"Aduan baru-baru ini yang kami lihat... adalah peringatan penting bahawa AP tidak boleh menyalahgunakan imuniti dan hak istimewa yang diberikan kepada mereka dengan sengaja," jelasnya.

Jawatankuasa Hak Istimewa itu adalah salah satu daripada Jawatankuasa Pilihan Tetap yang merupakan ciri penting dalam fungsi Parlimen, kata Encik Tan.

Jawatankuasa sebegitu juga melaksanakan peranan penting antara lain, untuk meneliti Belanjawan, tambahnya.

Encik Tan menyatakan bahawa tahun lalu merupakan tahun yang sibuk bagi Parlimen dan tidak mengejutkan bahawa Parlimen mencatatkan rekod bagi sidang paling lama pernah diadakan.

Perbahasan 'maraton' mengenai dasar bakat asing Singapura telah berlangsung dari 11 pagi pada 14 September hingga 12.30 pagi keesokan harinya, iaitu mencatatkan masa keseluruhan selama 13.5 jam.

"Kenyataan yang dibuat mestilah berdasarkan fakta atau maklumat yang kukuh. Aduan baru-baru ini yang kami lihat... adalah peringatan penting bahawa AP tidak boleh menyalahgunakan imuniti dan hak istimewa yang diberikan kepada mereka dengan sengaja." - Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg