SEJAK kecil, Syed Jalal Ahmad Gilani merupakan anak yang bersifat terus terang.
Gemar memberi pendapatnya tentang pelbagai perkara di sekolah, Syed Jalal berkata beliau sering diberitahu untuk diam dan tidak perlu menyuarakan pendapatnya.
"Dari kecil hingga sekarang, saya merupakan seorang individu yang peramah dan suka bercakap.
"Jadi, saya selalu diberitahu oleh guru dan orang di keliling saya untuk berdiam sahaja.
"Saya kadangkala rasa seperti dikekang dan inginkan lebih banyak peluang untuk bersuara," kata anak muda berusia 19 tahun itu.
Berminat dalam Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan Inggeris serta Pengajian Teater dan Drama, Syed Jalal mendapati sekolahnya, Maktab Rendah Anglo-Chinese (ACJC), menyediakan platform yang baik baginya meneroka identiti diri secara terbuka dan menyuarakan pendapatnya secara bebas.
Keghairahan Syed Jalal terhadap subjek-subjek itu diterapkan lagi melalui penglibatannya dalam bidang seni di ACJC.
Ini termasuk penglibatannya sebagai presiden dan pelakon utama Teater ACSian, iaitu kelab drama ACJC yang juga merupakan Pusat Kecemerlangan Seni Bahasa Zon Barat.
Sebagai presiden kelab drama itu, beliau telah memimpin pasukannya dalam pelbagai persembahan.
Antaranya termasuk persembahan yang disampaikan menerusi dalam talian untuk membawa pengalaman teater kepada masyarakat semasa pandemik Covid-19.
"Persiapan mengadakan persembahan dalam talian bukan mudah.
"Ia memerlukan lebih banyak penyelarasan daripada semua orang kerana kita tidak dapat berkumpul bagi sesi latihan.
"Walaupun terdapat beberapa sekatan, saya rasa saya dan pasukan saya telah berjaya meneruskan penerbitan kami sebaik mungkin," katanya yang juga merupakan Wakil Jawatankuasa Lembaga kegiatan kokurikulum (CCA) bagi Seni Persembahan.
Antara persembahan yang disampaikannya menerusi dalam talian termasuk persembahan Charlie And the Chocolate Factory dan juga kerjasama bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dalam projek Reading Out Loud.
Menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' minggu lalu, Syed Jalal melahirkan perasaan syukur dengan keputusannya.
Menurutnya, beliau mengambil mata pelajaran Matematik di peringkat H1; Kesusasteraan Inggeris, linguistik, pengajian teater di peringkat H2 dan juga Kesusasteraan Inggeris di peringkat H3.
Secara keseluruhan, beliau berjaya meraih lima gred A dan satu gred merit.
Syed Jalal berkata beliau banyak pelajari kemahiran yang boleh dimanfaatkan walaupun selepas menamatkan pengajiannya di situ.
"Guru di sini banyak membantu saya dan rakan-rakan untuk meneroka identiti diri sendiri melalui program khusus yang ditawarkan.
"Pengalaman seperti menggunakan kemudahan teater profesional memberi saya peluang untuk memperkukuh lagi minat saya dalam bidang seni," jelas beliau yang berharap dapat menceburi bidang seni sebagai seorang pelakon.
Anak tunggal itu juga berkata beliau mungkin berminat menceburibidang undang-undang pada masa akan datang.
Kini, beliau sedang menjalani Perkhidmatan Nasional (NS) bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg