Negara-Negara harus terus mengejar keterbukaan dan kerjasama ekonomi melalui forum dan platform seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), walaupun konsensus global yang selama ini mengekalkan keterbukaan semakin lemah, kata Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow.

Berucap di mesyuarat menteri kewangan Apec di Hong Kong pada 20 Oktober, beliau berkata langkah menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) mungkin tidak lagi menjadi trend.

Ini sedang persaingan strategik semakin mendorong negara mengenakan sekatan perdagangan dan memberi subsidi industri untuk melindungi sektor kritikal dan menjamin rantaian bekalan.

Dalam keadaan itu, Encik Siow berkata: “Kita memerlukan lebih banyak forum dan platform seperti Apec supaya ekonomi dapat berkumpul, membina persefahaman dan memajukan kerjasama.

“FTA mungkin sudah ketinggalan zaman, namun kita boleh membina atas perjanjian perdagangan serantau yang sedia ada seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) dan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).”

RCEP yang diterajui Asean ialah FTA terbesar di dunia. Ia merangkumi kira-kira 30 peratus Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) global dan kira-kira satu pertiga penduduk dunia.

Perjanjian itu melibatkan 15 negara – Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Vietnam, Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

CPTPP pula ialah perjanjian perdagangan bebas antara 12 negara – Jepun, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei, Canada, Chile, Malaysia, Mexico, Peru, Britain dan Vietnam.

Encik Siow menambah bahawa negara yang mempunyai pandangan yang sama boleh bekerjasama memajukan kepentingan tertentu melalui perjanjian plurilateral yang melibatkan lebih daripada dua pihak, namun dengan bilangan negara yang lebih kecil berbanding perjanjian berbilang hala.

Beliau memetik perjanjian ekonomi digital termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) Asean yang bersejarah. Perjanjian itu dijangka ditandatangani secara rasmi pada November untuk meletakkan asas bagi integrasi digital yang lebih erat di seluruh Asia Tenggara.

Beliau turut menyebutkan perjanjian ekonomi hijau yang diperjuangkan Singapura untuk mempercepat peralihan ke arah masa depan yang hijau dan mampan.

Encik Siow juga menamakan Kerjasama Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan (FIT-P) sebagai contoh kerjasama fleksibel antara negara yang mempunyai pandangan yang sama.

Kumpulan yang terdiri daripada 20 ekonomi kecil dan sederhana yang bergantung pada perdagangan itu membolehkan sebahagian daripadanya meneruskan inisiatif “sementara pintu terus terbuka untuk yang lain menyertai kemudian”, kata beliau.

Sebagai contoh, 10 ahli FIT-P menyokong satu deklarasi bersama tentang pengukuhan sistem perdagangan berasaskan peraturan pada 16 Mac. Tiga lagi ahli menyertainya pada tarikh kemudian.

Encik Siow juga berkata kerjasama ekonomi terbuka mesti disertai sokongan dalam negara. Ini kerana manfaat globalisasi, yang sangat besar secara keseluruhan, tidak selalu dikongsi secara sama rata.

“Pekerja dan industri telah menanggung kos perubahan teknologi yang pantas. Kemunculan kecerdasan buatan (AI) akan menambahkan tekanan ini,” kata beliau.

Dalam satu sesi tentang tinjauan global dan serantau di mesyuarat Apec itu, Encik Siow berkata ekonomi global kekal berdaya tahan di tengah konflik Timur Tengah yang sedang berlaku. Namun, pertumbuhan tidak diagihkan sama rata dan sangat bergantung pada pelaburan AI.