Dalam dunia yang padat dengan pelbagai maklumat, nilai sesebuah penerbitan perniagaan yang baik tidak lagi terletak pada kepantasan atau akses kepada maklumat semata-mata.

Sebaliknya, ia semakin bergantung kepada faktor kepercayaan, pertimbangan dan perspektif, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, semasa jamuan malam gala sempena sambutan 50 tahun akhbar, The Business Times (BT), di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, pada 1 Oktober.

BT telah dilancarkan pada 1976 dengan tujuan menyampaikan berita mengenai perniagaan dan ekonomi secara tepat.

Semasa acara tersebut, Encik Siow berkata BT amat penting bagi perniagaan tempatan, terutama sekali semasa Singapura melalui fasa transformasi ekonomi.

Menurut Encik Siow, BT secara konsisten menyampaikan berita kewangan berasaskan tiga faktor tersebut walaupun dunia sudah banyak berubah, dan kini ia diterima oleh sekitar 25 juta pembaca setiap tahun.

“Dalam persekitaran di mana khabar angin boleh tersebar ke seluruh dunia dalam beberapa minit, dan hantaran Facebook atau infografik yang kelihatan meyakinkan boleh dijana dengan mudah oleh kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa saat sahaja, nilai maklumat yang sah menjadi semakin penting.

“Di sinilah kelebihan yang dimiliki oleh bilik berita mapan seperti BT.

“Fakta telah disemak, sumber telah diuji dan pelbagai perspektif telah dipertimbangkan,” tegas Encik Siow.

Encik Siow berkata BT mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi untuk menyampaikan berita berkaitan kewangan yang penting, terutama sekali maklumat yang boleh membawa kesan besar kepada dunia kewangan.

Persekitaran maklumat dan laporan berita kini amat berbeza berbanding lima dekad lalu, di mana akses kepada maklumat kini mencapai tahap tertinggi dalam sejarah, katanya.

Bagaimanapun, maklumat yang melimpah ini tidak menjamin kefahaman yang lebih mendalam kerana ruang awam kini dipenuhi pelbagai kekeliruan, di mana fakta dan maklumat palsu sering kelihatan sama meyakinkan.

Beliau menambah ini menjadikan kandungan BT amat berkesan dalam membantu pembaca meneliti fakta manakah yang penting.

“Di sinilah kewartawanan memberi nilai tambah melebihi sekadar laporan biasa.

“Ia bukan sekadar memberitahu pembaca tentang apakah yang telah berlaku.

“Malah, ia membantu mereka memahami mengapa perkara itu penting dan apakah yang perlu diberi perhatian seterusnya,” katanya.

Di acara tersebut Encik Chan Yeng Kit, yang kini Pengerusi Eksekutif SPH Media Trust (SMT) dan SPH Media Holdings (SPHMH) turut hadir.

Encik Chan, 61 tahun, menggantikan Encik Khaw Boon Wan, yang bersara selepas berkhidmat selama lima tahun sebagai Pengerusi SMT dan SPHMH sejak 2021.

Encik Khaw turut hadir di acara tersebut bersama Editor BT, Cik Chen Huifen.

Di acara itu Encik Siow turut memberi penghargaan kepada Encik Khaw.

Encik Siow kemudian mengetengahkan bagaimana laporan kreatif BT membantu pembaca memahami berita seperti kesan perubahan dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat kepada rantaian bekalan, atau bagaimana perkembangan AI mengubah sesebuah industri.

Kandungan tersebut bukan sahaja disampaikan menerusi laporan, malah melalui wadah kreatif seperti penglibatan dengan syarikat-syarikat melalui penganugerahan, perbincangan meja bulat serta forum.

Ini termasuk kandungan seperti Decoding Asia yang menyampaikan perkembangan perniagaan utama rantau ini, Anugerah Enterprise 50 serta Dialog Kesan Kemampanan.

Dalam ucapannya itu, Encik Siow turut memuji BT yang menyediakan perspektif yang bermakna.

Beliau berkata BT mampu mentafsir perkembangan antarabangsa menerusi pengetahuan mendalam mengenai Singapura dan Asia Tenggara, sama seperti penerbitan kewangan utama sejagat yang menimba kekuatan daripada rantau asal masing-masing.

Ini, jelas Encik Siow, bertambah penting dengan lebih banyak perniagaan memberi perhatian kepada rantau Asia Tenggara untuk mencari peluang baharu.

“Bagi tempoh 50 tahun pertamanya, BT telah merakam perjalanan Singapura sehingga muncul sebagai pusat perniagaan dan kewangan sejagat.

“Bagi tempoh 50 tahun akan datang, anda (BT) berpeluang melaksanakan sesuatu yang lebih besar, iaitu menjadi salah sebuah institusi yang membolehkan dunia memahami Asia Tenggara,” ujar Encik Siow.

Dalam ucapannya Editor BT, Cik Chen Huifen, berkata:

“Ia tidak lagi memadai sekadar melaporkan apakah yang telah berlaku, sebaliknya anda ingin mengetahui apakah makna di sebalik sesuatu peristiwa tersebut,” ujar Cik Chen.

Cik Chen turut menampilkan beberapa pencapaian bilik berita itu baru-baru ini.

Januari lalu, BT melancarkan BT Global untuk mengupas perkembangan di peringkat rantau dan antarabangsa menerusi lensa Asia Tenggara. Ini dijayakan seiring dengan pelancaran buletin baharu bertajuk Decoding Asia.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jumlah trafik luar negara melonjak lebih dua kali ganda hingga mencapai 35 juta paparan halaman, manakala jumlah pengguna unik dari luar negara turut mencecah 35 juta, kongsi Cik Chen

“

“Dalam persekitaran di mana khabar angin boleh tersebar ke seluruh dunia dalam beberapa minit, dan hantaran Facebook atau infografik yang kelihatan meyakinkan boleh dijana dengan mudah oleh kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa saat sahaja, nilai maklumat yang sah menjadi semakin penting. Di sinilah kelebihan yang dimiliki oleh bilik berita mapan seperti BT (The Business Times).”
Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow.