Topik diikuti
Pergi ke BHkuJeffrey Siow: MNC, SME tempatan saling lengkapi, bukan bersaing
Kededua punya hubungan pastikan setiap rakyat S’pura raih manfaat pertumbuhan ekon
Strategi ekonomi masa depan Singapura bukanlah antara memilih syarikat berbilang negara (MNC) atau syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan.
Sebaliknya kedua-duanya mempunyai hubungan yang saling melengkapi untuk memastikan setiap rakyat Singapura mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi.
Ini dinyatakan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, dalam memberi respons kepada satu usul yang dibentangkan Parti Pekerja (WP) di Parlimen pada 5 Ogos.
Usul bertajuk ‘Ekonomi Masa Depan Yang Memanfaatkan Semua’ itu, yang difailkan Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) dan Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang), membentangkan visi WP untuk ekonomi masa depan negara ini.
Seramai 24 Anggota Parlimen (AP) mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu yang berlangsung selama lebih lapan jam.
Encik Siow telah menyangkal pandangan yang diutarakan WP bahawa Singapura perlu memilih antara menarik pelaburan asing atau memajukan syarikat tempatan, dan sebaliknya menjelaskan bahawa kedua-duanya saling memperkasa satu sama lain.
“Dalam persekitaran sejagat yang lebih mencabar, kami perlu bersaing dengan lebih gigih untuk mendapatkan pelaburan asing.
“Kita juga mesti berusaha lebih keras untuk menyokong syarikat-syarikat tempatan kita.
“Kita tidak berada dalam situasi di mana keuntungan satu pihak bermakna kerugian pihak yang lain. Malah, pertumbuhan syarikat tempatan dan MNC kita saling mengukuhkan antara satu sama lain,” kata beliau.
Antaranya, Profesor Madya Lim telah berkata bahawa Singapura boleh “mengurangkan kebergantungan kita daripada model ekonomi berpusatkan MNC yang dipacu dari atas ke bawah dan bergantung kepada pelaburan asing, dan sebaliknya membina model yang berteraskan SME yang dipacu dari bawah ke atas serta diterajui modal tempatan”.
Encik Siow berkata pemerintah menyediakan hampir $2 bilion dalam bentuk geran dan pinjaman setiap tahun kepada SME tempatan untuk membina keupayaan lebih kukuh, memulakan projek baru dan bersaing dalam pasaran dunia.
Namun, dengan ekonomi global yang lebih berpecah-belah, Encik Siow berkata ia telah menjadi lebih mencabar bagi SME menebarkan sayap ke luar negara, tetapi ini tidak bermakna “kita harus mengasingkan diri”.
“WP menegaskan bahawa jika pasaran luar menjadi semakin tidak menentu, kita sepatutnya berundur dan lebih bergantung kepada permintaan domestik. Ini adalah tidak realistik,” kata beliau.
Sebaliknya, langkah perlu diambil untuk memperkukuh syarikat tempatan untuk bersaing dengan lebih berkesan di lebih banyak pasaran luar negara, dengan daya tahan yang lebih tinggi.
Walaupun usaha digandakan untuk menyokong SME tempatan, Encik Siow berkata MNC tetap penting kepada ekonomi Singapura, dengan syarikat tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta menjana peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Lebih dua pertiga jawatan pengurusan kanan di MNC di sini dipegang oleh rakyat Singapura.
“Pada ketika negara lain membelanjakan lebih banyak peruntukan berbanding sebelum ini untuk menarik dan membawa pulang (reshore) pelaburan strategik, tindakan kita sudah tentu tidak boleh dengan melakukan kurang daripada itu.
“Melepaskan pelaburan ini bermakna kurangnya pekerjaan bermutu tinggi dan peluang untuk rakyat Singapura. Itu tidak boleh menjadi pendekatan kita,” kata beliau.
Selain Encik Siow, tiga pemegang jawatan politik lain turut memberi respons kepada usul WP itu.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan), Dr Tan See Leng, antara lain, menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara tidak pernah dirancang hanya untuk angka semata-mata, sebaliknya bagi memastikan faedahnya dapat dirasai secara meluas oleh seluruh rakyat.
Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pula berkata pemerintah menyediakan pelbagai skim bantuan untuk SME, termasuk bagi mereka bersaing di peringkat antarabangsa.
Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, pula menekankan kepentingan untuk membina sebuah ekonomi yang mana pekerja boleh membina kerjaya yang bermakna, perusahaan boleh berinovasi dan berkembang, dan lebih ramai rakyat boleh mewujudkan peluang untuk diri sendiri dan orang lain.
