Terokai sekitar kawasan bersejarah dengan berjalan kaki di lokasi seperti Galeri Nasional Singapura bersama ‘docent’ atau pemandu lawatan berpengalaman sambil menyelami kekayaan sejarah kehakiman yang tersemat pada mercu tanda di sekelilingnya.

Orang ramai juga berpeluang meneroka bangunan Parlimen lama – kini dikenali sebagai The Arts House – sebagai lokasi mahkamah pertama negara ini menyusuli pengisytiharan Piagam Keadilan Kedua pada 1826.

Kegiatan jelajah warisan itu merupakan sebahagian daripada tiga inisiatif baharu, anjuran Kementerian Undang-Undang, bagi memperingati sambutan SGLaw200, yang menandakan ulang tahun ke-200 penubuhan sistem kehakiman dan perundangan moden Singapura sejak 1826.

Dua lagi daya usaha yang diadakan ialah pameran bergerak dan pengeluaran set setem peringatan.

Inisiatif yang berlangsung hingga Disember 2026 ini membawa orang ramai meninjau bagaimana sistem perundangan dan kehakiman Singapura menjadi tunjang pembangunan negara serta meningkatkan kebajikan rakyat.

Melalui mercu tanda dan kisah penting tersebut, orang ramai dapat menerokai warisan perundangan Singapura dan lebih memahami peranan Kedaulatan Undang-Undang dalam sejarah negara.

Antara lokasi dalam jelajah warisan itu ialah bangunan Parlimen lama, yang kini dikenali sebagai The Arts House.
Antara lokasi dalam jelajah warisan itu ialah bangunan Parlimen lama, yang kini dikenali sebagai The Arts House. - Foto ST

Inisiatif tersebut diumumkan Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, semasa sesi jelajah warisan berpandu bersama 25 mahasiswa universiti pada 2 Julai.

Encik Chua dan kumpulan itu telah menyertai jelajah warisan tersebut untuk merasai sendiri pengalaman mengunjungi mercu tanda yang bakal dibuka kepada orang ramai mulai 11 Julai ini.

Ketika berucap kepada hadirin di salah satu lokasi bagi jelajah warisan di imPAct@Hong Lim Green, Encik Chua berkongsi bagaimana Piagam Keadilan Kedua telah menjadi antara sebab mengapa Singapura boleh berkembang daripada sebuah bandar pelabuhan kecil kepada seuah negara yang dipercayai, stabil, dan berjaya.

“Sekitar 200 tahun lalu, pada 1826, Piagam Keadilan Kedua telah diisytiharkan.

“Dokumen ini membantu meletakkan asas bagi sistem kehakiman dan perundangan moden kita.

“Lama-kelamaan, ia bantu membentuk satu sistem di mana pertikaian diselesaikan bukan melalui kekerasan, status, atau hubungan, tetapi melalui peraturan, bukti, dan keadilan,” ujarnya.

Lantas, beliau akur SGLaw200 lebih daripada sekadar memperingati peristiwa yang berlaku 200 tahun lalu.

Malah, ia adalah peluang untuk merenung bagaimana Singapura boleh menjadi sebuah negara yang mempunyai sistem dipercayai serta mengekalkan kepercayaan itu untuk generasi akan datang, ujarnya.

Ketika ditemui wartawan selepas acara berkenaan, Encik Chua menggariskan peri pentingnya belia menghayati warisan perundangan Singapura

Golongan belia kini sudah bergelar pemimpin, lantas bersemangat dan jelas tentang hala tuju Singapura sekarang dan akan datang, katanya.

“Maka, penting untuk golongan muda kita memahami asal usul kita, menghayati serta mendalami kepentingan strategik sejarah perundangan kita, dan seterusnya memacu Singapura ke langkah yang seterusnya,” kata Encik Chua.

Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (empat dari kiri), berkata SGLaw200 ialah lebih daripada sekadar memperingati peristiwa yang berlaku 200 tahun lalu. Malah, ia adalah peluang merenung bagaimana Singapura boleh menjadi sebuah negara yang mempunyai sistem yang dipercayai serta mengekalkan kepercayaan itu untuk generasi akan datang.
Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua (empat dari kiri), berkata SGLaw200 ialah lebih daripada sekadar memperingati peristiwa yang berlaku 200 tahun lalu. Malah, ia adalah peluang merenung bagaimana Singapura boleh menjadi sebuah negara yang mempunyai sistem yang dipercayai serta mengekalkan kepercayaan itu untuk generasi akan datang. - Foto ST

Sesuai dengan itu, jelajah warisan yang akan disediakan itu mampu menjadi wadah untuk orang ramai menyelusuri sistem kehakiman Singapura.

Ia menampilkan 20 mercu tanda yang mempunyai kepentingan bagi Kedaulatan Undang-undang di Singapura, antaranya Mahkamah Agung terdahulu (kini Galeri Nasional Singapura) dan bangunan Parlimen lama (kini The Arts House).

Jelajah itu mengisahkan sejarah di sebalik tanda tempat tersebut dan menjejaki evolusi landskap perundangan Singapura – daripada mahkamah pertama negara, susulan Piagam Keadilan Kedua, sehinggalah kepada mahkamah moden dan institusi perundangan masa kini.

Orang ramai boleh menikmati sesi jelajah tersebut dengan dua cara – lawatan berpandu dengan berjalan kaki dari 11 Julai hingga Disember 2026, atau lawatan maya.

Sementara itu, pameran bergerak pula akan menampilkan bagaimana undang-undang telah membentuk pembangunan negara dan memberi manfaat buat rakyat.

Pameran percuma tersebut akan dibawa ke pelbagai lokasi awam di seluruh Singapura.

Ia bermula di Perpustakaan Harbourfront pada Ogos ini, dengan butiran lanjut akan dikongsi oleh Kementerian Undang-Undang dalam masa terdekat.

Kedua-dua inisiatif itu merupakan kerjasama antara Kementerian Undang-Undang dan Heritage SG.

Bagi inisiatif terakhir pula, kementerian tersebut telah bekerjasama dengan SingPost untuk melancarkan empat reka bentuk setem peringatan.

Ia menjejaki sistem keadilan Singapura merentasi empat aspek – institusi perundangan, akses kepada keadilan, penyelesaian pertikaian alternatif, dan masa depan undang-undang.

Setem tersebut boleh dibeli di Kaunter Filateli di Pejabat Pos Besar, Kedai Filateli di Tampines, dan secara dalam talian di shop.singpost.com.

Empat reka bentuk setem peringatan boleh didapatkan sehingga Disember 2026 sempena ulang tahun ke-200 penubuhan sistem kehakiman dan perundangan moden Singapura.
Empat reka bentuk setem peringatan boleh didapatkan sehingga Disember 2026 sempena ulang tahun ke-200 penubuhan sistem kehakiman dan perundangan moden Singapura. - Foto ST