SPH Logo mobile
Langgan|

Jejak kebaya vintaj sejauh Eropah

Jejak kebaya vintaj sejauh Eropah

Dec 4, 2022 | 5:30 AM

Jejak kebaya vintaj sejauh Eropah

LESTARIKAN WARISAN BUDAYA: Encik Afiq (kiri) dan Encik Sufi mula memperoleh kebaya vintaj dari pelbagai negara sejak dua tahun lalu. Antara kebaya termahal termasuk kebaya songket bermotif bunga mawar (belakang, tiga dari kiri) yang diperoleh pada harga sekitar $1,600. - Foto BM oleh KHALID BABA
LESTARIKAN WARISAN BUDAYA: Encik Afiq (kiri) dan Encik Sufi mula memperoleh kebaya vintaj dari pelbagai negara sejak dua tahun lalu. Antara kebaya termahal termasuk kebaya songket bermotif bunga mawar (belakang, tiga dari kiri) yang diperoleh pada harga sekitar $1,600. - Foto BM oleh KHALID BABA -

HOBI mengumpul 'sneakers', beg berjenama atau setem dari negara berbeza mungkin agak biasa didengar.

Namun, minat dua jejaka muda, Encik Sufiyanto A.S, 33 tahun dan Encik Afiq Juana, 31 tahun, mengumpul kebaya vintaj mungkin mengundang persoalan dari orang luar.

Misi mencari kebaya vintaj itu telah dimulakan sejak dua tahun lalu dan kini koleksi Encik Sufi dan Encik Afiq telah dikembangkan hingga 150 kebaya vintaj dari seawal tahun 1900-an yang telah diperoleh pada harga antara $300 dengan $1,600, bukan sahaja dari Singapura dan negara jiran, bahkan dari Eropah..

Namun, minat itu tidak dianggap sekadar 'hobi' oleh kededuanya yang kini memanfaatkan koleksi peribadi mereka itu dalam usaha memartabatkan kebaya sebagai warisan budaya.

Mereka juga ingin meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai, terutama sekali golongan belia, mengenai kebaya dan fesyen masyarakat Melayu zaman dahulu melalui akaun Instagram Kebaya Societe di mana mereka memuatnaik gambar kebaya vintaj dari koleksi mereka berlatarbelakangkan kisah asal kebaya tersebut.

Antara kebaya yang termahal yang pernah diperoleh mereka adalah kebaya belah labuh bermotif bunga mawar - yang sebelum ini pernah dipaparkan dalam majalah FESYEN pada Oktober 1961- yang didapatkan dari pemiliknya di Indonesia pada harga sekitar $1,600.

"Ada kisah menarik di sebalik kebaya-kebaya yang kami kumpul, dan tujuan utama kami adalah untuk memperoleh dan memelihara koleksi vintaj ini untuk dijadikan bahan rujukan fesyen Melayu zaman dahulu dan juga untuk melestarikan warisan kebaya ini.

"Pada masa yang sama, kami harap ia dapat mencetus minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kebaya ini, terutama sekali di kalangan anak muda," kata Encik Sufi, yang bertugas sepenuh masa sebagai tukang jahit bagi klien swasta.

Anggota masyarakat perlu terus terlibat dalam usaha melestarikan warisan budaya di samping dibantu gerakan yang lebih meluas di peringkat nasional atau serantau, tambahnya.

Baru-baru ini, Singapura bersama Brunei, Malaysia dan Thailand telah mencalonkan kebaya untuk dilestarikan dalam Senarai Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH).

Mengalu-alukan langkah tersebut, Encik Afiq, yang kini berkecimpung dalam bidang perundingan dan perniagaan fesyen, berkata beliau berharap ia dapat meningkatkan kesedaran tentang peranan serta pengaruh kebaya dalam sejarah fesyen masyarakat Melayu sejak dulu lagi.

Pada masa yang sama, ia juga dapat memperkukuh usaha 'grounds-up' oleh masyarakat dalam melestarikan budaya tersebut dan menggalakkan pemakaian kebaya, sepertimana yang dilakukan kededuanya melalui Kebaya Societe.

Katanya: "Pencalonan ini mengukuhkan lagi usaha masyarakat melestarikan budaya ini kerana ia kini dilakukan di peringkat nasional. Tapi, ia juga seruan supaya lebih ramai terlibat dan menyumbang terhadap usaha tersebut."

Dalam respons kepada Berita Minggu (BM), jurucakap Lembaga Warisan Negara (NHB) berkata kebaya "bukan sekadar pakaian, namun wadah yang memaparkan campuran budaya melalui gaya, fabrik dan motif yang berbeza."

Tambahnya:

"Pencalonan pelbagai negara ini menekankan kepelbagaian budaya kita dan juga asal usul kita yang serupa dengan negara lain di rantau ini, ia juga mengesahkan lagi pengetahuan, kemahiran serta nilai sosio-budaya yang sering dikaitkan dengan kebaya."

Laporan lanjut:

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg