Jejak Warisan Hougang senarai tempat ibadah termasuk Masjid Haji Yusoff
Jejak Warisan Hougang senarai tempat ibadah termasuk Masjid Haji Yusoff
MASJID Haji Yusoff antara 18 tempat yang disenaraikan Lembaga Warisan Negara (NHB) bagi projek Jejak Warisan Hougang yang dilancarkan pada Khamis (29 Oktober).
Dalam kenyataannya, NHB berkata ruang ibadah yang dibina pada 1921 pada tanah wakaf pedagang dan dermawan berbangsa Gujarati, Ahmad Mohamed Salleh Angullia (1874-1939) ini, adalah masjid tertua di Hougang.
Ia adalah mercu tanda yang terserlah sehinggakan nama Cina yang digunakan bagi bahagian jalan berhampiran masjid ini adalah Sembahyang Tng (gabungan perkataan sembahyang dan perkataan Hokkien yang bermaksud astaka).
Masjid Haji Yusoff kini dianggap sebagai hab masyarakat Melayu/Islam di Hougang dan Upper Serangoon.
Sepanjang tiga kilometer jalanan di Upper Serangoon Road, wujud tiga ruang ibadah selain Masjid Haji Yusoff yang kekal bertahan dan tidak dimamah usia.
Bangunan gereja The Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary, Kuil Hougang Tou Mu Kung dan Masjid Haji Yusoff jika digabungkan usianya mencecah hampir empat abad.
Gereja dan kuil ini pula diwartakan sebagai monumen negara dengan Upper Serangoon Road sendiri berusia 200 tahun.
Jejak Warisan Hougang ini adalah yang ke-20 dilancarkan NHB menyusuli Jejak Kejiranan Pasir Ris, Disember lalu.
Ia merupakan usaha menyediakan orang ramai dengan panduan menjejak tempat-tempat bersejarah dan kaya warisan di sesebuah kejiranan.
NHB menambah, ia akan melancarkan lebih banyak projek jejak kejiranan seperti ini bagi membawa warisan negara dekat dengan hati warga Singapura.
Jejak Warisan Hougang juga memaparkan bilangan sumbangan masyarakat paling tinggi dalam kalangan semua projek jejak warisan NHB.
Seramai 28 individu yang mengenali kejiranan Hougang telah menyumbang cerita mereka menerusi wawancara dan foto.
Sebelum ini hanya 10 hingga 20 sumbangan anggota masyarakat diraih bagi projek jejak warisan lain.
Jejak Warisan Hougang ini juga menjejak perubahan kawasan kampung Au Kang menjadi bandar perumahan baru dengan sekolah moden dan pasar yang sibuk dengan pelanggan.
Perniagaan tradisional yang terus berjalan hingga ke hari ini termasuk kedai jam Cheong Ann Watch Maker, gerai bubur Ah Seah Teowchew Porridge dan Ho Tit Coffee Powder Factory.
Orang ramai boleh dapatkan panduan Jejak Warisan Hougang ini di muzium NHB, Majlis Bandaran Aljunied-Hougang, Kelab Masyarakat Hougang, Punggol, Paya Lebar Kovan, Serangoon dan Eunos serta Balai Rakyat Aljunied dan Kaki Bukit.
Peta dan panduan juga boleh dimuatturunkan menerusi gerbang warisan NHB, Roots.sg.

