PASANGAN suami isteri ini berada dalam hubungan yang saling mendera dengan pertelingkahan biasanya berakhir dengan serangan malah menggigit anggota tubuh satu sama lain.

Ketegangan rumah tangga mereka sampai ke kemuncaknya apabila si isteri menuduh si suami mempunyai hubungan dengan wanita lain lantas menikamnya di dada dengan pisau.

Apabila polis tiba di tempat kejadian, pasangan ini masih lagi bergaduh dengan si isteri memegang pisau dalam genggaman manakala si suami ditemui dengan kemejanya berlumuran darah.

Pada Jumaat (15 Oktober), si isteri dihukum penjara lapan bulan dan tiga minggu atas empat tuduhan mencederakan dengan senjata. Lagi empat tuduhan dipertimbangkan.

Awal sebelum ini, si suami dihukum penjara sembilan bulan dan didenda $4,500 kerana kesalahan termasuk dengan sukarela menyebabkan kecederaan serta mendera anaknya.

Keterangan pasangan ini tidak boleh didedahkan kerana anak-anak mereka disertakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Belia lantas tidak boleh didedahkan identitinya.

Dokumen mahkamah menjelaskan bahawa sekitar 2 petang pada 28 Julai, 2019, pasangan ini mula bertengkar di flat mereka selepas wanita itu menuduh suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain, sesuatu yang lelaki itu nafikan.

Sedang pertengkaran itu menjadi bertambah bahangnya, lelaki itu melontar kerusi ke arah isterinya tetapi ia tidak kena pada si isteri. Wanita itu kemudian merempuh suaminya dan menggigit bahagian kanan bahunya, dibalas dengan si suami menggigit lengan si isteri.

Apabila lelaki itu menghubungi polis, wanita itu mengambil pisau sepanjang 16 sentimeter dari dapur dan menikam suaminya sekali di dada. Suaminya cuba menenangkannya agar tidak terus menyerang.

Apabila polis tiba di unit itu, mereka ternampak pasangan ini masih lagi bertengkar. Pegawai polis memisahkan mereka dan memberkas mereka.

Lelaki itu dibawa ke hospital setelah ditemui cedera bahu kanannya di samping wujud liang tikaman pada bahagian kiri dan atas dadanya yang perlu dibedah.

Wanita itu mengalami kesan gigitan pada kedua-dua lengannya dan lebam pada lutut kirinya.

Dia ditahan di Institut Kesihatan Mental bagi penilaian psikiatrik. Doktor di situ berkata wanita itu mempunyai sejarah kondisi tabiat yang tidak mantap dan pengubahsuaian personaliti tetapi menambah keadaan itu tiada kaitan dengan kesalahannya.

Suami isteri ini pernah bercekau dalam rumah tangga mereka sebelum ini.

Mahkamah diberitahu pada 7 Julai 2019, pasangan ini bertengkar di dalam kereta sedang si suami memandu di ekspreswe.

Setelah digigit si isteri, yang juga menggenggam kuat roda kemudi, lelaki itu menekan brek kecemasan secara berbahaya di tengah jalan.

Secara berasingan, wanita ini juga berdepan dengan tuduhan menendang ibunya pada perut. Dia juga melanggar perintah perlindungan peribadi yang ibunya laporkan ke atasnya.

Memohon bagi jel lapan bulan, tiga minggu dan 19 hari buat wanita itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Colin Ng berkata, pertimbangan utama dalam menjatuhkan hukuman buatnya adalah bagi menghalang keganasan domestik.

"Tindakan ganas sebegini merupakan satu penderaan ikatan kepercayaan dan saling bergantung pada satu sama lain dalam kalangan anggota keluarga. Perlu ada keperluan yang utuh dalam menghalang sesiapa yang mungkin melakukan keganasan sebegini," jelas DPP Ng.

Wanita itu yang tidak diwakili, dalam rayuannya, berkata dia menyesali tindakannya dan berharap dapat menjalani hukumannya secepatnya bagi menjaga dua anaknya yang masih kecil.

Dalam menjatuhkan hukuman kepada wanita ini, Hakim Daerah, May Mesenas, mengambil kira pengakuan salahnya dan kesediaannya menghadiri kaunseling bagi menangani isu pengurusan amarahnya.

"Ini adalah sesuatu yang perlu anda tangani - kawalan pengurusan amarah dan emosi anda yang menurun ke tahap rendah," jelas Hakim Mesenas.