Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jel, denda buat lelaki yang lontar kata kesat kepada pemandu bas dan buat kacau di rumah pak cik

Sep 10, 2021 | 8:47 PM
-

SEORANG penumpang bas naik radang dan melontar kata kesat apabila pemandu bas berkenaan mengingatkannya agar menggunakan pelitup dengan betul.

Dalam satu kejadian berasingan pula, Keith Lim Chin Han, membawa sebilah pisau dan berkunjung ke rumah bapa saudaranya untuk menimbulkan kekecohan selepas satu perselisihan faham.

Pada Jumaat (10 September), Lim, 40 tahun, dihukum penjara 26 minggu dan didenda $3,000.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan mengganggu dan memiliki pisau.

Warga Singapura ini juga mengaku bersalah di atas tiga dakwaan menipu melibatkan hampir $7,000.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sunil Nair berkata Lim berada di dalam bas nombor 21 pada 26 Ogos tahun lalu apabila pemandu bas itu, Encik Yong Tze Fei, 32 tahun, mendapati pelitup Lim tidak menutupi hidung dan mulutnya.

Apabila diberitahu tentang perkara itu, Lim mula marah dan melontar kata-kata kesat kepada pemandu warga Malaysia itu.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa yang berlaku selepas itu.

Lim buat kecoh sekali lagi pada 24 Mei tahun ini apabila dia gagal menghubungi ibunya.

Dia berkunjung ke rumah bapa saudaranya dengan menyangka lelaki 73 tahun itu baik dengan ibunya.

Bapa saudaranya, Encik Teo Kim Soo, memberitahu Lim dia tidak dapat membantu kerana tidak rapat dengan wanita itu.

Lim merasakan Encik Teo berbohong dengannya sehinggakan kedua-duanya mula bertengkar.

Lim berkunjung ke kedai kopi berhampiran untuk minum bir. Dia mabuk ketika merancang mencederakan dirinya bagi menunjukkan kepada Encik Teo dia serius mengenai perkara itu.

Dia kemudian membeli pisau dari pasar raya dan kembali ke rumah Encik Teo.

Kata DPP Nair: "Dia tiba sekitar 11 malam dan kemudian menutup pintu Encik Teo dengan kuat dan berteriak. Tertuduh merosakkan anak tingkap Encik Teo ketika membukanya dengan paksa.

"Dia juga mengelar tangannya dengan pisau itu, dengan niat menunjukkan kecederaannya kepada Encik Teo. Encik Teo enggan keluar dan menelefon polis."

Lim kemudian mengancam akan terjun dari tingkat enam rumah bapa saudaranya itu apabila dua pegawai polis datang tidak lama selepas itu melepasi waktu tengah malam pada 25 Mei.

Dia melarikan diri tetapi ditangkap beberapa jam selepas itu.

Dalam satu kes berasingan, dia menipu tiga orang hampir $7,000 awal tahun ini.

Secara berasingan, dia menipu mereka agar mempercayai dia menjual barangan termasuk jam Rolex dalam platform dalam talian Carousell, walaupun dia tidak memiliki produk itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg