Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah buat persiapan setelah dapat peluang tunai haji

Jun 22, 2022 | 5:30 AM
BAKAL TUNAIKAN IBADAH HAJI: Cik Abidah dan Encik Razip antara mereka yang ditawarkan untuk menunaikan ibadah haji selepas pengumuman bahawa kuota jemaah haji Singapura dinaikkan oleh Arab Saudi Isnin lalu.
BAKAL TUNAIKAN IBADAH HAJI: Cik Abidah dan Encik Razip antara mereka yang ditawarkan untuk menunaikan ibadah haji selepas pengumuman bahawa kuota jemaah haji Singapura dinaikkan oleh Arab Saudi Isnin lalu. -

AIR mata kegembiraan mengalir di pipi Cik Abidah Bibi Marikar apabila beliau menerima panggil mengejut daripada seorang kakitangan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) kelmarin.

Beliau antara yang ditawarkan peluang untuk menunaikan ibadah haji tahun ini apabila jumlah jemaah haji Singapura dinaikkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi pada Isnin lalu.

Cik Abidah, 57 tahun, telah menunggu peluang keemasan itu sejak mendaftarkan hasratnya pada 2013.

Malah, panggilan "mengejutkan" daripada Muis itu sangat tidak dijangka kerana beliau tidak yakin akan dipilih tahun ini.

"Kalau ikut perkiraan, mungkin saya boleh menunaikan ibadah haji pada usia sebelum 70 tahun.

"Namun, apabila mendapat berita bahawa kuota haji Singapura dinaikkan tahun ini, saya tidak sangka dapat panggilan pada petang itu juga," kata guru itu.

Beliau dan suaminya, Encik Mohamad Razip Ahmad, 58 tahun. kemudian ke pejabat Muis semalam untuk mendapatkan surat tawaran sebelum memilih ejen penjualan pakej haji (GSA) mereka.

Cik Abidah turut berkata persiapan bagi ibadah haji itu sudah lama bermula dan beliau berharap beberapa pengalaman menunaikan ibadah umrah sebelum ini dapat membantu mereka di Tanah Suci itu nanti.

Selain itu, pasangan suami isteri itu juga akan mengambil pakej penuh 26 hari kerana ingin "menikmati pengalaman penuh di sana".

"Ini adalah peluang keemasan dan mungkin datang hanya sekali sahaja dalam hidup kami. Oleh itu, kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya di sana," ujar beliau, yang memilih syarikat Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd sebagai GSA mereka.

Walaupun waktu singkat sebelum keberangkatan, pasangan itu tidak mempunyai masalah mengambil cuti demi melaksanakan rukun kelima Islam itu.

Selain pasangan itu, seorang lagi bakal jemah Cik Rodziati Yacob, 61 tahun, turut mengakui terkejut dan teruja atas tawaran untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

"Apabila saya mendapat panggilan itu, tiada perkataan yang dapat huraikan apa yang saya rasa.

"Ia perasaan yang bercampur aduk dan saya tidak sangka mendapat peluang ini," katanya, yang bakal ke sana sendiri kerana hasrat untuk pergi bersama suaminya tidak kesampaian kerana suaminya meninggal dunia tahun lalu.

Pasangan Encik Abdul Halim Mohd Ali, 61 tahun, dan Cik Faridah Abu Bakar, 59 tahun, pula bersyukur dengan peluang yang diberikan dan bakal bersiap sedia dari segi mental dan fizikal.

"Walaupun masa suntuk, pihak GSA telah menasihati kami untuk bersiap sedia terutama dari segi fizikal kerana akan berjalan jauh di Mina nanti. Oleh demikian, kami sudah merancang untuk berjalan pantas demi meningkatkan stamina kami," kata Cik Faridah, yang bakal mengikuti syarikat Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd.

"...Apabila mendapat berita bahawa kuota haji Singapura dinaikkan tahun ini, saya tidak sangka dapat panggilan pada petang itu juga. Ini adalah peluang keemasan dan mungkin datang hanya sekali sahaja dalam hidup kami. Oleh itu, kami berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya di sana." - Cik Abidah Bibi Marikar.

"Walaupun masa suntuk, pihak GSA telah menasihati kami untuk bersiap sedia terutama dari segi fizikal kerana akan berjalan jauh di Mina nanti. Oleh demikian, kami sudah merancang untuk berjalan pantas demi meningkatkan stamina kami." - Cik Faridah Abu Bakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg