JEMAAH yang berhajat menunaikan umrah semasa tempoh ketidakpastian ini harus sedar bahawa rancangan perjalanan mereka boleh bertukar pada bila-bila masa saja disebabkan perkembangan situasi pandemik Covid-19, kata beberapa agensi pelancongan tempatan.
Ini menyusuli pengumuman baru-baru ini bahawa skim Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) bersama Arab Saudi - yang sepatutnya bermula pada 6 Disember - akan ditunda dengan langkah sempadan disemak akibat kemunculan varian baru Covid-19 Omicron.
Ini bermakna jemaah yang kembali ke Singapura dari Tanah Suci akan perlu menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari dan menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) di akhir SHN.
Akibat perkembangan terbaru itu, agensi-agensi pelancongan itu memberitahu Berita Harian (BH) bahawa permintaan bagi pakej umrah terjejas sedikit.
Naib Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (Amtas), Ustaz Jalaluddin Hassan, berkata penangguhan VTL itu adalah berita yang memeranjatkan dan menyedihkan, dengan jemaah pula terpaksa menjalani SHN dan perlu menyesuaikan waktu cuti mereka.
Ustaz Jalaluddin berkata pihak Amtas akan meminta ejen penyedia pakej umrah dan haji (GSA) dengan jemaah yang bakal berangkat pada waktu terdekat ini agar melaporkan butiran dan jumlah jemaah ke konsulat Singapura di Jeddah.
"Ini supaya mereka boleh dibantu jika terjadi perkara yang tidak diingini seperti jangkitan dan penangguhan kepulangan ke tanah air," kata beliau.
"Nasihat saya kepada mereka yang bakal berangkat adalah untuk bersedia dengan keadaan dan perubahan dari masa ke masa, berfikiran positif, terus menjaga protokol walau di mana negara pun anda berada dan teruskan niat anda jika anda rasa anda mampu," tambah beliau.
Pengarah Hamidah Travel and Tours, Encik Badruzzaman Abdul Majid, pula berkongsi bahawa pertanyaan bagi pakej umrah merosot sekitar 10 hingga 15 peratus sejak penangguhan VTL itu diumumkan.
"Ia berkurangan kerana ada yang menyatakan mereka perlu minta cuti sehingga 17 atau 18 hari... ini adalah sukar untuk sebahagian mereka," kata beliau.
Pengarah TravelConnect.sg, Ustaz Mohamed Nafis Abdul Rahman, turut berkata permintaan umrah terjejas sedikit dalam keadaan sekarang, dengan masyarakat lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga serta memantau dahulu sebelum ingin mendaftar pakej umrah.
Namun begitu, agensinya belum lagi menerima permintaan oleh jemaah yang sudah membuat pendaftaran untuk menangguh atau membatalkan keberangkatan mereka pada bulan ini.
Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, pula menasihatkan mereka yang ingin menunaikan umrah agar berfikiran positif dan bersiap sedia dari segi mental kerana banyak perubahan boleh berlaku.
"Minda kita perlu bersedia. Sekiranya ada keadaan kecemasan, kita mesti bersedia ikut arahan daripada konsulat kita di sana.
"Jika terdapat senario di mana kita diberi arahan untuk berhenti dan pulang ke tanah air, kita mesti ikut aturan itu. Ini semua demi keselamatan," kata beliau.
LAPORAN LANJUT: Jemaah umrah kekal positif walau VTL ditangguh
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg