Syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD, telah melancarkan jenama mewah kereta pelbagai guna (MPV) Denza D9, di Singapura pada 10 Oktober, menjelang pengembangan yang dirancang ke pasaran utama Asia-Pasifik.
Model jenama Denza D9 ini telah mencapai kejayaan di China dengan lebih 200,000 unit dijual dalam tempoh hanya dua tahun, dan dikenal pasti sebagai MPV mewah paling laris pada 2023, menurut satu kenyataan syarikat itu.
Harga bagi Denza D9 model Elite ialah $296,888 dan Denza D9 model Grandeur $341,888.
Kededua harga termasuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
Dalam kenyataannya pada 10 Oktober itu, pengurus besar Divisyen Jualan Auto Asia-Pasifik untuk BYD, Encik Liu Xueliang, berkata BYD, sebagai pengeluar kenderaan tenaga baru yang terkemuka di dunia, telah mewujudkan asas teknologi dan reputasi yang teguh dalam sektor EV.
“Tahun ini menandakan satu dekad kehadiran BYD di Singapura, di mana kami telah menjadi jenama kereta terlaris nombor satu, berkat sokongan tidak berbelah bahagi daripada pengedar, penjual dan pelanggan kami. Pengenalan Denza menangani permintaan yang semakin meningkat untuk MPV mewah di rantau Asia-Pasifik, meningkatkan jenama kami ke tahap yang baru,” katanya.
Ini merupakan peluasan pertama jenama itu dalam pasaran automotif pemanduan sebelah kanan di luar Hong Kong, di mana ia mula diperkenalkan, menurut laporan The Business Times (BT).
Encik Liu juga memberitahu BT pada majlis pelancaran di hotel Shangri-La bahawa Denza akan diperkenalkan di Thailand akhir 2024, disusuli Malaysia, Indonesia, Australia dan New Zealand pada 2025.
Tiada tarikh khusus telah ditetapkan untuk pelancaran tersebut.
Memasuki pasaran pemanduan sebelah kanan adalah langkah penting kerana ia menandakan usaha menembusi pasaran automotif utama rantau ini di Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Encik Liu menambah bahawa BYD telah menubuhkan kilang pemasangan di Thailand dan lebih banyak kemudahan sedang dirancang di Indonesia dan pasaran serantau lain, menunjukkan betapa seriusnya syarikat itu mengenai hasratnya untuk rantau itu.
“Bagi setiap pasaran, kami akan membawa teknologi baru dan model baru berdasarkan permintaan tempatan; akhirnya kami mahu menawarkan pelbagai model kepada pengguna,” katanya, bercakap melalui penterjemah.
Encik Liu juga berkata bahawa BYD “serius mempertimbangkan” membawa jenama mewahnya yang lain, termasuk Fangchengbao dan Yangwang, ke Singapura dan rantau ini.
Di Singapura, BYD telah melantik firma Vantage Automotive dan Harmony Auto sebagai pengedar.
Kedua-duanya adalah pengedar BYD sedia ada, dan telah menubuhkan bilik pameran untuk Denza.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg