Jenayah fizikal di S’pura naik 4.4% pada 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jenayah fizikal di S’pura naik 4.4% pada 2025

Kes cabul kekal membimbangkan, manakala kes curi di kedai dan intai merosot
Feb 24, 2026 | 3:00 PM

Jenayah fizikal di S’pura naik 4.4% pada 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
spf, jenayah fizikal naik, kes cabul, kes mencuri
Jumlah kes jenayah fizikal yang dilaporkan meningkat sedikit kepada 20,857 kes pada 2025 – peningkatan 4.4 peratus – berbanding 19,969 pada 2024. Menurut laporan jenayah tahunan yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 24 Februari, jenayah mencabul kehormatan dan pencurian di kediaman merupakan jenayah yang membimbangkan, manakala perbuatan mencuri di kedai dan mengintai merosot. - Foto ZAOBAO

Jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal yang dilaporkan meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 20,857 kes pada 2025, berbanding 19,969 pada 2024.

Peningkatan tersebut didorong oleh lonjakan kadar kes mencabul kehormatan.

Menurut laporan jenayah tahunan Pasukan Polis Singapura (SPF) yang dikeluarkan pada 24 Februari, kes mencabul kehormatan kekal sebagai jenayah utama yang membimbangkan pada 2025.

Kes-kes tersebut meningkat sebanyak 7.3 peratus kepada 1,531 pada 2025, berbanding 1,427 pada 2024.

Pada masa yang sama, laporan itu turut menampilkan penurunan dalam kadar kes mencuri di kedai dan mengintai, atau voyeurisme.

Pengarah Jabatan Operasi, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Leon Chan berkata kepada media:

“Pada 2025, terdapat penurunan yang menggalakkan dalam kesalahan seperti perbuatan mencuri di kedai, yang menekankan betapa pentingnya penglibatan komuniti dan pencegahan jenayah secara proaktif untuk keselamatan awam.

“Bagaimanapun, masih terdapat jenayah yang membimbangkan.”

Kes mencabul kehormatan membentuk sekitar 7.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah fizikal yang dilaporkan bagi 2025.

Ia sering berlaku di kawasan perumahan, kawasan hiburan dan rangkaian pengangkutan awam, yang kesemuanya mencatatkan peningkatan jumlah kes.

Namun, kawasan beli-belah pula mencatat penurunan kes.

Lebih separuh daripada kes-kes tersebut melibatkan pesalah yang dikenali oleh mangsa.

Mengulas lanjut pertanyaan Berita Harian (BH), polis menekankan bahawa kerjasama dan kewaspadaan orang ramai penting untuk menangani jenayah mencabul dan mengintai di tempat awam dan peribadi.

“Kesedaran terhadap persekitaran dan melapor sebarang kebimbangan dengan segera boleh meningkatkan keselamatan diri sendiri serta orang lain, sama ada di rumah mahupun di tempat awam.

“Misalnya, orang ramai digalakkan menyemak kewujudan kamera tersembunyi, dan berhati-hati terhadap individu yang mencurigakan ketika di tangga bergerak,” kata polis.

Polis menggesa agar orang membuat laporan polis dengan segera jika menyaksikan perlakuan cabul.

SPF menambah mereka akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, seperti pengendali kawasan hiburan, pengendali pengangkutan awam dan masyarakat, untuk terus mencegah serta membanteras kes mencabul kehormatan.

“Kami juga akan memperkukuhkan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya mereka mengesan jenayah sedemikian,” tambah polis.

Di rangkaian pengangkutan awam, contohnya, kehadiran polis serta pengumuman dan paparan mengenai pencegahan jenayah itu akan dipertingkatkan.

Satu lagi jenayah yang membimbangkan polis bagi 2025 ialah pencurian di kediaman.

Walaupun kes curi di kediaman turun 0.9 peratus kepada 1,500 pada 2025, ia masih merangkumi kira-kira 7.2 peratus daripada keseluruhan jenayah fizikal.

Kes jenayah di asrama pekerja migran meningkat ketara kepada 85 kes pada 2025, naik 57.4 peratus berbanding 54 kes pada 2024.

“Kebanyakan kes tersebut melibatkan penduduk asrama yang berkongsi ruang bersama mangsa, dan mencuri barang peribadi ketika mangsa tidur atau sibuk,” jelas SPF.

Mengulas lebih lanjut, SAC Chan berkata:

“Jenayah ini sukar untuk dicegah. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk melaksanakan program pendidikan pencegahan jenayah untuk pekerja migran yang tiba di Singapura.”

Beliau menambah: “Kami juga akan terus mengadakan penglibatan dengan asrama untuk menggalakkan pekerja migran bersikap lebih bertanggungjawab, termasuk menggunakan loker yang disediakan.

“Terdapat juga pekerja migran yang berperanan sebagai duta bagi mempergiatkan pencegahan jenayah, dan paparan pendidikan juga diadakan dalam pelbagai bahasa.”

Dalam pada itu, terdapat kadar kes mencuri di kedai dan mengintai telah merosot.

Jumlah kes mencuri di kedai merosot 3.0 peratus, daripada 4,237 kes pada 2024 kepada 4,109 pada 2025.

Kebanyakan kes berlaku di pasar raya, kedai kecantikan, kedai penjagaan diri, serta kedai kesihatan dan kesejahteraan.

Barangan yang biasanya dicuri termasuk makanan, minuman, produk penjagaan diri, minuman arak, pakaian dan aksesori.

Lebih separuh daripada kes melibatkan kerugian di bawah $50.

Polis mengaitkan penurunan itu kepada Program Kesedaran Kecurian Kedai untuk Peruncit (STAR).

Program tersebut membantu peruncit menilai faktor risiko dan mencadangkan langkah-langkah, termasuk penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) lengkap dengan pengecaman wajah.

Setakat 31 Disember 2025, lebih 1,100 kedai, termasuk peruncit utama seperti NTUC FairPrice, Watsons, Sephora dan Challenger, telah menyertai program itu.

Ada juga peruncit, seperti Watsons, yang mempertimbangkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengukuh usaha pencegahan.

Namun, SPF menekankan bahawa perbuatan mencuri di kedai kekal sebagai salah satu jenayah paling tinggi bagi belia yang diberkas pada 2025.

Jumlah kes mengintai juga mencatatkan kemerosotan, dengan 486 kes dilaporkan pada 2025 berbanding 519 pada 2024.

Kebanyakan jenayah itu berlaku di kawasan kediaman, pusat beli-belah, dan rangkaian pengangkutan awam.

Bagi kes di kawasan kediaman, majoriti pesalah juga dikenali oleh mangsa, termasuk bekas pasangan, anggota isi rumah dan rakan-rakan.

Polis mengaitkan penambahbaikan tersebut kepada kerjasama dengan masyarakat luas, termasuk pihak berkepentingan seperti Persatuan Tandas Singapura (RAS), dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di tandas awam.

SAC Chan memuji kewaspadaan orang ramai dan penglibatan aktif oleh masyarakat yang telah membantu mengawal kadar jenayah di Singapura.

“Dengan sokongan pihak berkepentingan dan orang ramai, kami yakin dapat mengekalkan kadar jenayah rendah di Singapura dan memastikan negara ini kekal sebagai salah satu bandar paling selamat di dunia,” tegasnya.

SPF akan terus bekerjasama dengan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) untuk mengenal pasti dan mencegah trend jenayah yang baru.

Naib Pengerusi NCPC, Encik Tan Puay Kern menambah:

“Kami akan terus mencari cara kreatif untuk berkongsi petua praktikal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua.”

“Kesedaran terhadap persekitaran dan melapor sebarang kebimbangan dengan segera boleh meningkatkan keselamatan diri sendiri serta orang lain, sama ada di rumah mahupun di tempat awam. Misalnya, orang ramai digalakkan menyemak kewujudan kamera tersembunyi, dan berhati-hati terhadap individu yang mencurigakan ketika di tangga bergerak.”
Kenyataan Polis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg