Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pramugara dihukum penjara lima minggu kerana palsukan dokumen, langgar ketetapan pinjaman pengajian Mendaki

Apr 3, 2025 | 11:27 PM
Pada 3 April, Muhammad Hakim Jaffar Abdul Aziz, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pemalsuan dokumen.
Pada 3 April, Muhammad Hakim Jaffar Abdul Aziz, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pemalsuan dokumen. - Foto PIXABAY

Seorang lelaki yang belajar di Amerika Syarikat dengan bantuan pinjaman tanpa faedah daripada sebuah badan bantu diri di Singapura memutuskan untuk beralih mengambil kursus di Jerman.

Bagi memastikan dirinya terus menerima wang pinjaman, bekas pramugara itu memalsukan dokumen untuk menunjukkan bahawa dia masih berdaftar di institusi Amerika itu.

Pada 3 April, Muhammad Hakim Jaffar Abdul Aziz, 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima minggu selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pemalsuan.

Pinjamannya sepatutnya dibahagikan kepada tiga bayaran tahunan sebanyak $15,000 setahun.

Selepas badan bantu diri Melayu/Islam, Yayasan Mendaki, mengeluarkan pinjaman pertama, pertubuhan ini mendapat tahu tentang pemalsuan yang berlaku selepas merujuk dengan universiti Amerika berkenaan.

Bayaran kedua dan ketiga pinjaman itu tidak dibayar.

Sejak itu, Hakim telah melunaskan sepenuhnya pinjaman pertama sebanyak $15,000 pertama yang diterima.

Dia dikatakan mengalami kemurungan yang ketara tatkala dia berusaha belajar di luar negara untuk meningkatkan kesejahteraan mindanya.

Pada 2022, dengan bantuan pinjaman tanpa faedah daripada Yayasan Mendaki, dia mendaftar dalam program ijazah Seni Komunikasi selama tiga tahun di Universiti Antarabangsa Florida (FLU) di Miami.

Selepas memasuki senarai dekan pada penggal musim bunga tahun pertamanya pada 2022, dia menemui universiti lain di Jerman yang menawarkan program ijazah yang sama dengan kos lebih rendah.

Hakim kemudian memohon untuk ke Universiti Macromedia di Berlin dan dianugerahkan biasiswa bagi sebahagian tempoh pembelajarannya di sana.

Memandangkan dia telah bertukar ke universiti lain tanpa memaklumkan Mendaki, dia telah melanggar syarat pinjamannya, yang menetapkan sebarang pengeluaran pinjaman selanjutnya dihentikan.

Hakim juga dikehendaki memulangkan jumlah yang telah dipinjam atas permintaan Mendaki.

Siasatan mendapati dia telah menghadiri FLU, hanya dari 10 Januari 2022, hingga 23 April 2022, meskipun dia terus menetap di Miami sehingga Ogos 2022 sebelum berpindah ke Berlin.

Mendaki memberi pinjaman pertama kepadanya pada Februari 2022.

Antara Disember 2022 dengan Mac 2023, Hakim memalsukan empat dokumen kepada Mendaki untuk menunjukkan dia masih siswa yang mendaftar di FLU untuk menerima bahagian kedua pinjamannya.

Encik S Balamurugan, peguam Hakim, berkata lelaki itu telah beralih kepada pemalsuan kerana terdesak oleh situasinya yang memerlukan wang untuk membayar yuran sekolah dan sewa rumah di Berlin.

Ini adalah selepas dia telah menghabiskan simpanannya sendiri yang mencecah kira-kira $20,000 untuk diberikan kepada ibu saudaranya, yang telah meminta pinjaman daripadanya.

Dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman anak guamnya, Encik Balamurugan berkata Hakim telah memindahkan wang itu kepada ibu saudaranya kerana dia percaya ibu saudaranya itu memerlukan wang untuk rawatan barah.

Ini menyebabkan Hakim tidak mempunyai simpanan bagi perbelanjaannya sendiri di Berlin.

“Anak guam saya telah menyedari melakukan pemalsuan adalah seperti membina sebuah rumah di atas pasir. Dia menerima tanggungjawabnya atas kesalahannya,” kata Encik Balamurugan.

Mereka yang didapati bersalah melakukan pemalsuan boleh dipenjara sehingga empat tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg