Mulai 8 September, orang ramai perlu menggunakan Singpass atau Corppass untuk mengakses kebanyakan perkhidmatan elektronik (e-perkhidmatan) Pasukan Polis Singapura (SPF).
Perubahan dalam kaedah tersebut, bersama-sama dengan penyegaran laman web korporat, bertujuan meningkatkan perlindungan data dan menyediakan pengalaman dalam talian yang lebih mesra pengguna kepada orang ramai, kata polis dalam satu kenyataan pada 7 September.
Singpass dan Corppass, yang digunakan oleh sektor perniagaan dan entiti lain, kini digunakan secara meluas untuk pengenalan digital di sini, menurut akhbar The Straits Times (ST).
Namun, kededua e-perkhidmatan ini tidak memerlukan Singpass atau Corppass.
Nombor Pengenalan Asing (FIN) boleh digunakan untuk memohon dan membayar sijil pelepasan, dan untuk menyemak status permohonan.
Nombor Kenderaan Asing pula boleh digunakan untuk menyemak kesalahan trafik tertunggak dan membayar denda trafik.
Kaedah ini dikekalkan untuk memudahkan keperluan warga asing yang tidak mempunyai Singpass, kata kenyataan polis itu lagi.
Beberapa e-perkhidmatan yang boleh diakses hanya dengan menggunakan Singpass termasuk mengemukakan laporan pemeriksaan perubatan untuk pemandu yang berusia lanjut dan memohon kelayakan lesen memandu.
Bagaimanapun, bagi menyemak status Mata Penambahbaikan Pemandu dan memohon salinan dokumen polis yang disahkan kesahihannya akan memerlukan Singpass atau Corppass untuk pengguna mengaksesnya.
Individu atau perniagaan yang tidak mempunyai Singpass atau Corppass boleh mendaftar akaun secara langsung melalui portal masing-masing.
Menurut kenyatan itu lagi, laman web korporat polis akan dikemas kini dan dimuatnaikkan semula pada 8 September.
Justeru, orang ramai tidak boleh melungsurinya dari 8 malam hingga tengah malam pada 7 September.
Ini mungkin akan menimbulkan gangguan buat seketika dari tengah malam hingga 8 pagi keesokan harinya (8 September).
Mereka yang memerlukan bantuan untuk mengakses e-perkhidmatan, atau mempunyai sebarang pertanyaan lain, boleh menghubungi polis melalui Portal Maklum Balasnya, menghubungi 1800-358 0000, atau melawat balai polis.
Pada 22 Julai 2024, khidmat pengesahan SingPass dan Corppass mengalami gangguan sejak pagi sehari sebelumnya dan akibatnya khidmat tersebut dihentikan sejak tengah hari untuk menjalani penyelenggaraan segera.
Gangguan tersebut memakan masa selama enam jam, dengan khidmat tersebut berjaya dipulihkan sekitar 5 petang.
Ia disebabkan oleh “masalah teknikal” dan bukan akibat serangan siber, menurut jurucakap GovTech, agensi di sebalik sektor transformasi teknologi awam, termasuk pembangunan SingPass dan Corppass.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg