Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes lanun, rompak kapal di Asia naik 83% dari Jan hingga Jun 2025

Jul 10, 2025 | 5:03 PM
lanun, rompak kapal, Selat Melaka, Singapura
Terdapat 80 kejadian melanun dan merompak kapal di perairan Selat Melaka dan Selat Singapura dalam tempoh Januari hingga Jun 2025, berbanding 21 kes pada separuh pertama 2024. - Foto ST

Terdapat 95 kejadian lanun dan rompakan bersenjata terhadap kapal di Asia dari Januari hingga Jun – naik 83 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Demikian menurut data Pusat Perkongsian Maklumat Bagi Menangani Lanun dan Rompakan Bersenjata (ReCapp).

Kebanyakan kejadian berlaku di Selat Melaka dan Selat Singapura, yang ditandakan oleh badan pemerhati itu sebagai perairan yang membimbangkan.

Terdapat 80 kes di perairan berkenaan sepanjang tempoh itu, berbanding 21 kejadian pada separuh pertama 2024.

Menurut The Straits Times (ST), majoriti kejadian di Selat Melaka dan Selat Singapura tidak serius, dengan tiada kru kapal yang cedera dalam 90 peratus kejadian yang berlaku.

Sembilan daripada 10 kes berlaku dalam kegelapan malam, kata pusat maklumat untuk ReCaap, yang merupakan Perjanjian Kerjasama Serantau untuk Membanteras Lanun dan Rompakan Bersenjata terhadap Perkapalan di Asia.

Dalam separuh daripada 80 kes di dua selat Asia Tenggara itu, tiada apa-apa yang dilarikan, manakala dalam 29 peratus daripada kejadian itu, penyerang mengambil alat ganti enjin.

Sekitar separuh daripada serangan di Selat Melaka dan Selat Singapura adalah ke atas kapal pengangkut dan satu perempat ke atas kapal tangki, kata pusat maklumat itu.

Pusat itu sebelum ini mendedahkan bahawa dari Januari hingga Mei 2020, terdapat 49 kejadian seperti itu, dibandingkan dengan 25 dalam tempoh yang sama pada 2019.

ReCaap menyatakan angka 2020 adalah yang tertinggi berbanding tempoh sama antara 2016 dengan 2019.

“Dalam kebanyakan kejadian, penyerang menaiki kapal yang tidak bersedia, mempunyai lantai yang rendah dan bergerak perlahan di perairan larangan di Selat Melaka dan Selat Singapura,” kata pusat tersebut.

Pihak berkuasa di rantau ini harus meningkatkan kehadiran mereka di tempat-tempat yang menjadi sasaran lanun dan rompakan bersenjata berulang kali untuk memberkas penyerang, kata Pengarah Eksekutif Pusat Perkongsian Maklumat ReCaap, Encik Vijay D Chafekar.

“Kapal-kapal yang transit di kawasan yang menjadi kebimbangan perlu meningkatkan penjagaan di geladak semasa waktu gelap dan mengambil langkah pencegahan bagi menghalang penyerang daripada menaiki kapal,” ujarnya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg