Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk intimidasi, ancaman atau penderaan terhadap pekerja pengangkutan awam.

Ia selepas seorang pemandu bas Go-Ahead Singapore dilaporkan didera secara lisan dan diancam.

Kejadian pada 4 November itu melibatkan seorang pemandu bas yang mengendalikan perkhidmatan 136 di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 6, kata kesatuan itu dalam satu kenyataan menerusi media sosial pada 7 November.

NTWU berkata ia telah menghubungi pemandu bas berkenaan, yang merupakan anggota kesatuan itu, dan sedang berhubung dengan Go-Ahead Singapore untuk memastikan pemandu tersebut menerima bantuan dan sokongan yang sewajarnya, termasuk sokongan undang-undang jika diperlukan.

Kesatuan itu menambah ia difahamkan satu laporan polis telah dibuat.

The Straits Times telah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dalam kenyataannya, kesatuan itu berkata:

“Kapten bas kami bekerja keras setiap hari untuk memastikan Singapura terus bergerak dan mereka layak dilayan dengan rasa hormat.“

Orang ramai yang mempunyai kebimbangan atau aduan mengenai perkhidmatan pengangkutan awam harus menyuarakannya melalui saluran yang betul, tambah NTWU.

“Mengancam atau mengugut pekerja pengangkutan kami tidak boleh diterima sama sekali,“ tegasnya.

Kesatuan itu berkata ia akan terus berdiri teguh di belakang pekerja pengangkutan Singapura dan bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

The Straits Times telah menghubungi Go-Ahead Singapore untuk mendapatkan maklumat lanjut.