Seorang pembantu rumah yang ditugaskan menjaga warga emas berusia 95 tahun, dengan demensia ringan, dan isterinya, 93 tahun, telah mencuri lebih $34,000 dengan beberapa kali ‘mencerobohi’ akses pada akaun bank dalam talian majikannya, menerusi telefon bimbit mangsa.
Sumiati, yang mengetahui mangsa telah menulis nombor pengenalan peribadi (PIN) dan pengecam pengguna atau user ID di dalam sebuah buku nota yang ditinggalkan di atas meja, menghafalnya lalu melakukan kesalahan mencuri itu.
Lebih 10 kali, antara Februari dengan Oktober 2023, wanita Indonesia itu memindahkan wang daripada akaun lelaki itu kepada dua akaun miliknya.
Pada 14 Mei, Sumiati, 40 tahun, yang hanya menggunakan satu nama, dijatuhi hukuman penjara setahun selepas dia mengaku salah atas pertuduhan mencuri.
Pegawai Pendakwa Negara (SPO) Ting Nge Kong memberitahu mahkamah mangsa telah mengambil pembantu rumah itu pada Disember 2022 dan diberi gaji $750 sebulan.
Tugasnya termasuk menukar lampin dewasa lelaki itu dan memandikan isterinya setiap hari.
Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan berusia 67 tahun, yang tidak tinggal bersama mereka.
SPO Ting berkata menurut Sumiati, mangsa dan anak perempuannya melayannya dengan baik dan mereka juga membayar gajinya lebih awal setiap kali dia memberitahu mereka tentang masalah kewangannya.
Mangsa juga cukup mempercayai Sumiati dengan menyuruhnya membeli-belah dalam talian, menggunakan telefon bimbitnya.
Pada 23 Februari 2023, Sumiati mengambil telefon lelaki itu dan secara bersembunyi mengakses akaun banknya.
Dia kemudian memindahkan $750 daripada akaun lelaki itu ke salah satu akaun bank miliknya.
Apabila kecurian itu tidak disedari, Sumiati membuat sembilan lagi pemindahan serupa ke akaun banknya, setiap satu melibatkan antara $220 dengan $9,450.
Dia kemudian menyerahkan wang yang dicurinya kepada adik-beradiknya di Indonesia.
Kesalahan Sumiati terbongkar pada 16 Oktober 2023, apabila mangsa menyemak baki akaun banknya dan menemui terdapat beberapa pemindahan dana yang dibuat tanpa kebenarannya.
Sumiati menemani mangsa ke cawangan bank itu dan mangsa diberitahu lebih $34,000 telah dipindahkan ke akaun bank pembantu rumah itu.
Anak perempuan itu memaklumkan kepada polis, lantas Sumiati ditahan untuk siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg