Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita dijel 16 minggu abaikan 71 ekor kucing di flat Bukit Panjang
Wanita dijel 16 minggu abaikan 71 ekor kucing di flat Bukit Panjang
Selama hampir dua tahun, seorang wanita dan suaminya telah membiarkan 71 ekor kucing di dalam sebuah flat HDB yang kotor tanpa makanan dan air yang mencukupi.
Kecuaian mereka hanya terbongkar apabila seorang jiran memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai salah seekor kucing yang kelihatan tertekan sedang bertenggek di atas alat penyaman udara.
Nurul Nadiah Noor Mohamed, 33 tahun, dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada 12 November, selepas mengaku bersalah atas 24 pertuduhan kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak wajar terhadap haiwan-haiwan tersebut.
Dia juga hilang kelayakan untuk memiliki haiwan peliharaan selama 12 bulan.
Suaminya, Muhammad Khairul Naim Zainol, 37 tahun, yang sebelum ini mengaku bersalah atas jumlah pertuduhan yang sama, telah dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada 23 September.
Mereka memperoleh beberapa ekor kucing yang tidak dimandulkan sejak awal 2019, yang menyebabkan haiwan-haiwan tersebut membiak dengan pantas di flat mereka di Bukit Panjang.
Walaupun mereka telah berusaha untuk mencarikan rumah baharu bagi kucing-kucing tersebut, bilangan kucing di dalam unit itu terus bertambah.
Pada April 2022, pasangan itu keluar dari unit tersebut untuk tinggal bersama ibu bapa Khairul, tetapi meninggalkan kucing-kucing itu terbiar dalam flat berkenaan.
Beberapa bulan kemudian, bekalan air dan elektrik unit itu dipotong selepas bil utiliti tidak dibayar.
Khairul mendakwa dia kembali ke flat Bukit Panjang itu setiap hari untuk meninggalkan makanan dan air untuk kucing-kucing tersebut, tetapi berhenti setelah semakin sukar untuk memasuki unit itu.
Kali terakhir dia memasuki unit itu adalah pada Disember 2023.
Pada 20 Februari 2024, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) telah dimaklumkan tentang seekor kucing di atas alat penyaman udara unit itu yang kelihatan kurus dan tertekan.
Pada hari yang sama, pegawai polis melawat unit itu selepas menerima panggilan berasingan tentang bau busuk di flat tersebut.
Sebanyak 61 ekor kucing yang masih hidup, tiga bangkai kucing, enam tengkorak dan satu beg sisa rangka ditemui di dalam flat itu.
Lantai dan perabot diselaputi najis dan kotoran.
Walaupun beberapa tingkap dibiarkan terbuka, pengudaraan adalah buruk, dan terdapat bau amonia yang kuat di dalam unit itu.
Laporan daripada seorang doktor haiwan NParks pada Mei 2024 menyatakan bahawa kebanyakan kucing itu kurus kering, manakala tubuh sembilan ekor daripadanya sangat susut.