Sebilangan sekolah mengurangkan kegiatan luar apabila PM2.5 sejam, iaitu zarah mikro yang boleh terhidu masuk ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah, mencapai tahap sangat tinggi di barat Singapura pada petang 14 Oktober.

Sekolah Tinggi Maris Stella misalnya membatalkan kegiatan sukan luar, manakala Sekolah Tinggi Nan Hua berkata ia membatalkan sekurang-kurangnya satu kegiatan kokurikulum (CCA).

Sekolah Rendah CHIJ (Kellock), memaklumkan ibu bapa pada 14 Oktober bahawa semua aktiviti luar, termasuk pelajaran pendidikan jasmani (PE) dan permainan di luar, akan digantung pada 15 dan 16 Oktober.

Semasa waktu rehat, murid yang membawa bekal makanan akan makan di dalam bilik darjah. Murid yang membeli makanan di kantin atau menempah makanan terlebih dahulu pula akan kembali ke bilik darjah selepas makan, kata sekolah itu di aplikasi bagi ibu bapa mendapatkan maklumat.

Bacaan PM2.5 satu jam bagi kawasan barat Singapura mencapai 203 pada 9 malam (14 Oktober), merosot daripada 274 pada 8 malam. Bacaan PM2.5 setiap jam melebihi 250 menunjukkan kepekatan zarah halus yang sangat tinggi di udara.

Pada tahap sedemikian, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menasihati orang ramai supaya mengurangkan kegiatan luar untuk sejam berikutnya.

Menurut laman web Kementerian Pendidikan (MOE), sekolah perlu menyesuaikan tahap dan jenis kegiatan berdasarkan bacaan PM2.5 setiap jam, yang boleh berubah-ubah sepanjang hari.

Sementara itu, Safra telah menutup sementara kemudahan luar di empat lokasinya – Jurong, Choa Chu Kang, Tampines dan Toa Payoh.

Setakat 5.45 petang pada 14 Oktober, Safra Punggol, Mount Faber dan Yishun belum membuat sebarang pengumuman mengenai penutupan.

Langkah ini menyusuli penutupan sementara oleh Majlis Sukan Singapura (SportSG) bagi semua kemudahan luar dan kawasan tidak berhawa dingin di Pusat Sukan ActiveSG di bahagian timur, tengah dan barat berikutan bacaan PM2.5 yang meningkat.

Beberapa Anggota Parlimen (AP) turut membatalkan lawatan rumah yang dijadualkan, ekoran keadaan jerebu yang kian memburuk.

Encik Victor Lye, AP kawasan undi Buangkok-Fernvale South dalam GRC Ang Mo Kio, menyatakan dalam hantaran Facebook pada 14 Oktober bahawa beliau akan menangguhkan rancangan untuk melawat Blok 995B, Buangkok Crescent, yang dijadualkan pada malam tersebut.

Encik David Hoe, AP kawasan undi Clementi dalam GRC Jurong East-Bukit Batok, turut mengumumkan lawatan rumah yang dijadualkan bagi Blok 420, Clementi Avenue 1, akan dibatalkan.

Secara berasingan, syarikat penerbangan Malaysia, Firefly, menyatakan bahawa ia akan melanjutkan pembatalan penerbangan bagi laluan Subang-Seletar, kali ini sehingga 16 Oktober.

Firefly sebelum ini telah membatalkan penerbangan antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dengan Lapangan Terbang Seletar di Singapura dari 10 hingga 12 Oktober menyusuli keadaan jerebu, dan kemudian melanjutkan pembatalan tersebut ke 13 Oktober, dan sekali lagi sehingga 14 Oktober.

Penumpang yang terjejas oleh perkhidmatan yang dibatalkan sedang dihubungi dan diaturkan semula ke perkhidmatan Malaysia Airlines yang sedia ada melalui laluan Kuala Lumpur (KUL) – Singapura (SIN), tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, kata Firefly dalam satu kenyataan di laman webnya pada 14 Oktober.

Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang diaturkan semula itu layak mendapat pemulangan wang penuh, yang akan dikreditkan semula ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja.