Jetstar Asia akan berhenti beroperasi mulai 31 Julai susulan cabaran yang dihadapi, mengancam kemampanan perniagaannya.
Penutupan syarikat penerbangan tambang murah itu akan menjejas lebih 500 kakitangannya yang terpaksa dibuang kerja.
Dalam kenyataannya pada 11 Jun, Jetstar Asia berkata saban tahun, ia berdepan dengan cabaran kos operasi yang semakin meningkat dalam rantau ini.
“Perniagaan Jetstar Asia semakin tercabar dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan peningkatan kos pembekal, yuran lapangan terbang dan caj penerbangan serta kapasiti dan persaingan yang semakin meningkat di rantau ini.
“Meskipun kami telah berusaha sebaik mungkin untuk mengimbangi kenaikan kos ini, ia dijangka berterusan pada masa hadapan, memberikan tekanan yang tidak mampan terhadap keupayaan Jetstar Asia untuk menawarkan tambang yang rendah,” kata syarikat itu.
CEO Jetstar Asia, Encik John Simeone pula berkata:
“Malangnya, walaupun kami telah berusaha sedaya mungkin, keadaan pasaran telah menjejas keupayaan kami untuk terus menawarkan tambang rendah harian yang terkandung dalam DNA kami.”
Ia juga menambah bahawa penerbangan Jetstar Asia akan terus beroperasi sehingga 31 Julai 2025 dengan jadual yang semakin berkurangan.
Namun, bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Julai 2025, mungkin terdapat beberapa perubahan pada jadual mereka. Jetstar Asia akan menghubungi pelanggan yang terjejas jika terdapat sebarang perubahan pada penerbangan mereka.
Pelanggan Jetstar Asia dengan tempahan yang terjejas oleh pengumuman itu akan dihubungi, dengan pilihan bayaran balik tunai penuh atau penerbangan alternatif jika ada.
Jetstar Asia telah membangunkan laman web khas untuk kegunaan pelanggan yang terjejas, termasuk menerusi laman Travel Alert yang mengemas kini makluman terkini daripada syarikat tersebut.
Jetstar Asia dijangka mencatatkan kerugian A$35 juta ($29.3 juta) sebelum faedah dan cukai bagi tahun kewangan ini, sebelum keputusan untuk ditutup diumumkan.
Lebih 500 kakitangan di Singapura terpaksa dibuang kerja akibat penutupan anak syarikat Qantas itu.
Namun, Jetstar Asia telah menjanjikan pelbagai sokongan, termasuk pampasan pemberhentian kerja dan peluang pekerjaan, sama ada dalam Kumpulan Qantas atau di tempat lain.
Qantas berkata 16 laluan intra-Asia akan terjejas oleh penutupan Jetstar Asia, tanpa sebarang perubahan kepada perkhidmatan Jetstar Airways (JQ) dan Jetstar Japan (GK) ke Asia.
Perkhidmatan antarabangsa Jetstar Airways di dalam dan luar Australia juga akan kekal tidak berubah.
Kumpulan Qantas akan memberi sokongan kepada Jetstar Asia untuk terus memenuhi kewajipannya sehingga operasi berakhir.
“Jetstar Asia telah menjadi sebahagian daripada keluarga Jetstar selama lebih 20 tahun dan ini adalah hari yang amat sukar dan menyedihkan bagi kakitangan kami, pelanggan kami dan seluruh Kumpulan Jetstar,” kata ketua eksekutif Kumpulan Jetstar, Cik Stephanie Tully.
Berikutan penutupan syarikat penerbangan itu, 13 pesawatnya akan ditempatkan semula secara progresif di seluruh Kumpulan Qantas untuk menyokong pembaharuan dan pertumbuhan armada dalam perniagaan Australia dan New Zealand selaras dengan permintaan asas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg